Jentayu Sustainables terima kelulusan pemegang saham kumpul dana menerusi jualan tanah, penempatan persendirian | DagangNews Skip to main content

Jentayu Sustainables terima kelulusan pemegang saham kumpul dana menerusi jualan tanah, penempatan persendirian

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Julai - Jentayu Sustainables Berhad mengumumkan bahawa pemegang sahamnya meluluskan cadangan penjualan tanah pegangan pajak di Petaling Jaya, Selangor kepada Beacon ACM Sdn. Bhd. dan penempatan persendirian sehingga 30% pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) kumpulan itu hari ini.

 

Kedua-dua cadangan itu dijangka mengumpul sehingga RM78 juta dalam bentuk tunai yang sebahagian besarnya akan digunakan untuk membiayai sebahagian Projek Oriole di Sabah - antara projek kuasa hidro sungai terbesar negara.

 

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Beroz Nikmal Mirdin berkata, sistem kuasa hidro sungai menghasilkan tenaga daripada air yang mengalir dari sungai untuk menjana elektrik tanpa memerlukan empangan dan takungan yang besar.

 

"Project Oriole adalah komitmen kami untuk memenuhi keperluan bekalan kuasa di Sabah yang akhirnya menyokong usaha peralihan tenaga Malaysia dan matlamat tenaga boleh diperbaharui.

 

"Ia akan menggunakan teknologi kuasa hidro aliran sungai yang boleh mengurangkan kesan alam sekitar terutamanya berbanding empangan.

 

"Projek dijangka bersedia menangani dengan trilemma tenaga dalam mencari keseimbangan antara keselamatan, kemampuan dan kemampanan dalam akses dan penggunaan tenaga,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

jentayu
Datuk Beroz Nikmal Mirdin

 

Projek Oriole yang dijadualkan siap menjelang 2026 akan mempunyai jumlah kapasiti sehingga 170MW dan kapasiti penjanaan tahunan sekitar 920GWj, atau kira-kira 16% daripada jumlah permintaan elektrik Sabah dan menyumbang kepada pengelakan karbon tahunan lebih daripada 800,000 tan.

 

Ia dianggarkan menelan belanja RM2.56 bilion yang akan dibiayai oleh terbitan sukuk hijau RM2 bilion yang akan diatur oleh bank pelaburan tempatan.

 

Selain Project Oriole, Jentayu Sustainables sedang memuktamadkan cadangan pemerolehan Telekosang Hydro One Sdn. Bhd. dan Telekosang Hydro Two Sdn. Bhd. loji kuasa hidro kecil di Sabah yang mempunyai gabungan keluaran kuasa sebanyak 40MW. - DagangNews.com