Jepun ucap tahniah kepada Muhyiddin kejayaan program vaksinasi COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Jepun ucap tahniah kepada Muhyiddin kejayaan program vaksinasi COVID-19

Duta Besar Jepun ke Malaysia Hiroshi Oka melakukan kunjungan hormat ke atas bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 8 Oktober 2021.

 

 

KUALA LUMPUR 9 Okt - Duta Besar Jepun ke Malaysia Hiroshi Oka memuji dan mengucapkan tahniah di atas kejayaan usaha Malaysia menangani COVID-19 dengan melaksanakan program vaksinasi.

 

Ucapan itu disampaikan pada pertemuan dengan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melakukan kunjungan hormat di Kuala Lumpur pada Jumaat.

 

Ini adalah kunjungan kedua beliau ke atas Pengerusi MPN itu, di mana yang pertama adalah pada April lalu ketika Muhyiddin masih menjadi Perdana Menteri.

 

Menurut Oka, hasil proses vaksinasi yang pantas dan teliti kini dapat dilihat melalui pengurangan kes-kes COVID-19 pada waktu ini.

 

Untuk rekod, sejak awal bulan ini angka harian jangkitan positif COVID-19 mulai turun dengan jumlahnya kini mencatat empat angka, manakala Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilancarkan pada Februari lalu hampir mencapai 90% individu dewasa lengkap divaksin.

 

Susulan penurunan kes harian dan peningkatan kadar vaksinasi, Malaysia juga sekarang ini sedang menuju kepada pembukaan penuh semua sektor sosial, pendidikan dan ekonomi.

 

Dalam pertemuan itu juga, Muhyiddin berterima kasih kepada kerajaan Jepun kerana menyumbang sejuta dos vaksin AstraZeneca dan peralatan perubatan kepada Malaysia.

 

Kedua-dua mereka turut menyentuh mengenai usaha pemulihan ekonomi negara, dan sebagai Pengerusi MPN, Muhyiddin turut mengambil maklum isu yang dihadapi oleh syarikat-syarikat Jepun yang beroperasi di Malaysia, terutamanya dalam isu kekurangan tenaga mahir.

 

 

oda
Duta Besar Jepun ke Malaysia Hiroshi Oka berbual dengan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 8 Oktober 2021.

 

 

Isu-isu yang dibincangkan akan dibawa kepada perhatian Majlis Pemulihan Negara dalam waktu terdekat. Prospek pelaburan di antara kedua-dua turut disentuh dalam perbincangan tersebut.

 

Muhyiddin turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Jepun di atas kejayaan penganjuran Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 walaupun dianjurkan dalam keadaan pandemik COVID-19 yang mencabar. - DagangNews.com