JF Technology bakal ambil alih aset, perniagaan Ikeda Technology pada harga RM4.5 juta | DagangNews Skip to main content

JF Technology bakal ambil alih aset, perniagaan Ikeda Technology pada harga RM4.5 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Mei - JF Technology Berhad telah memeterai perjanjian dengan syarikat pembekal kejuruteraan, Ikeda Technology (M) Sdn. Bhd. dan pemegang sahamnya untuk cadangan pengambilalihan aset dan perniagaan syarikat itu pada harga RM4.5 juta.

 

JF Technology yang merupakan syarikat pengeluar penyelesaian hubungan ujian berprestasi tinggi untuk pembuat litar bersepadu (IC) global berkata, cadangan pengambilalihan itu dijangka selesai pada suku kedua 2022.

 

Pengarah Urusan JF Technology, Datuk Foong Wei Kuong berkata, pihaknya gembira dengan peluang yang diperolehi daripada cadangan pengambilalihan Ikeda.

 

"Memandangkan mereka saling melengkapi dengan produk kami, syarikat dapat meujudkan sinergi yang kukuh selain mengembangkan rangkaian produk pada masa akan datang.

 

"Menerusi pengambilalihan itu, kami dapat menyediakan penyelesaian kejuruteraan sehenti yang boleh disahkan terlebih dahulu semasa peringkat pembangunan untuk memastikan ia sempurna," katanya dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Beliau berkata, sinergi itu akan mengurangkan keperluan pelanggan untuk memasang dan menguji produk selepas menyusun komponen daripada penyedia penyelesaian yang berbeza.

 

Wei Kuong berkata, cadangan pengambilalihan itu dijangka menyumbang secara positif kepada kumpulan kerana ia hadir dengan jaminan pendapatan.

 

"Pengambilalihan itu juga merupakan sebahagian daripada pemangkin kemajuan kumpulan yang akan mengukuhkan lagi kedudukannya dalam industri semikonduktor kerana ia membantu meningkatkan rantaian nilai.

 

"Prospek masa hadapan JF Technology kekal positif dan ia disokong oleh rancangan pertumbuhan terancang dan perkembangan industri semikonduktor serta peningkatan ketara dalam kandungan semikonduktor untuk pelbagai aplikasi," katanya. - DagangNews.com