Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 2 Dis - JF Technology Berhad mengumumkan telah diberikan 6 paten baharu pada tahun kewangan 2021 (FY21) untuk aplikasi ujian 5G dan automotif.
Pengarah Urusan JF Tech, Dato’ Foong Wei Kuong berkata, pada masa ini, JF Tech telah memfailkan 68 paten di pelbagai negara, di mana 33 paten telah diberikan dengan baki 35 lagi belum mendapat kelulusan.
Katanya, Kumpulan memberi penekanan yang besar terhadap kepentingan harta intelek (IP) dan terus melabur dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D).
"Ini bukan sahaja membolehkan kami mengekalkan margin keuntungan yang sihat dan mengukuhkan kelebihan daya saing kami tetapi juga membolehkan JF Tech kekal di barisan hadapan teknologi.
"Dengan penubuhan dan penggabungan Test Contacting Centers kami di Malaysia dan China, kami menjangkakan dapat mempercepatkan penjanaan IP dan produk baharu yang berprestasi tinggi untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, mengenai tinjauan sektor, industri semikonduktor dijangka terus berkembang pada kadar yang sangat mengujakan.
Pertumbuhan pesat dalam pasaran 5G dan penggunaan pasaran kenderaan elektrik yang berkembang dijangka memacu permintaan untuk semikonduktor.
"Ini memberi petanda baik untuk kami kerana setiap litar bersepadu (IC) perlu diuji dengan soket ujian tersuai dan produk kami bersedia untuk menguji peranti ini," katanya.
Dalam pada itu syarikat memaklumkan pemegang saham telah meluluskan cadangan pemindahan penyenaraian dan sebut harga keseluruhan modal saham terbitan dan waran tertunggak JF Tech daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad.
"Melainkan keadaan yang tidak dijangka dan tertakluk kepada semua kelulusan yang berkaitan diperolehi, pelaksanaan itu dijangka selesai pada suku pertama 2022," katanya. -DagangNews.com