Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 23 Sept. - Impak perintah kawalan pergerakan (PKP) akan terus mempengaruhi prestasi kewangan JHM Consolidation Bhd. bagi suku ketiga ini meskipun mencatat prestasi yang baik pada suku kedua 2021.
Penganalisis Kenanga Research, Samuel Tan berkata, dalam tempoh itu ia menyaksikan kes jangkitan COVID-19 yang tinggi terutama di Kedah yang menempatkan operasi kumpulan.
"Walaupun JHM mencatat prestasi kewangan yang lebih baik pada suku kedua, tetapi ia masih di bawah jangkaan kami kerana kami yakin kumpulan mampu mencatat prestasi yang lebih baik jika dibandingkan dengan pemain tempatan lain.
"Ini kerana tempoh PKP berpanjangan menyebabkan kos tidak dapat diserap daripada pemasangan kemudahan dan peralatan baharu sementara menunggu kelulusan yang belum diperoleh disebabkan pelanggan baharu tidak boleh bergerak untuk menjalankan pemeriksaan sepatutnya," katanya dalam nota kajian hari ini.
Baca : Pendapatan operasi meningkat, untung bersih Q2 JHM melompat 240%
JHM merekodkan untung bersih teras sebanyak RM6.3 juta bagi suku kedua tahun kewangan 2021 (meningkat 69% suku ke suku, 56% tahun ke tahun) menjadikan untung bersih separuh pertama sebanyak RM10 juta (meningkat 80% tahun ke tahun) setelah mengambil kira keuntungan forex yang tidak direalisasikan dan penjualan tanah bernilai RM8.3 juta.
Bagaimanapun, keputusan tersebut adalah mengecewakan dan hanya merangkumi 24% daripada unjuran Kenanga dan konsensus.
Firma itu mengekalkan saranan 'market perform' ke atas JHM tetapi menyemak semula harga sasaran lebih rendah kepada RM1.90.
Ia turut mengurangkan unjuran untung bersih teras bagi tahun kewangan 2021, 2022 dengan masing-masing sebanyak 42% dan 13% kepada RM27.5 juta dan RM40.8 juta.
Ini berdasarkan kepada kos yang tinggi ketika tempoh PKP dan jangka masa pengeluaran yang tertangguh.
Namun, Kenanga mendapati JHM tidak menerima sebarang pembatalan bagi tempahan sedia ada.
"Oleh itu, apabila tenaga kerjanya sudah divaksinkan dan kumpulan kembali beroperasi pada kapasiti 100% pada September, ini menjadikan suku keempat akan merekodkan prestasi lebih baik," jelasnya. - DagangNews.com