JHM Consolidation, Jiangsu Dekai tubuh syarikat kerjasama bagi memasarkan produk lampu automotif di Malaysia dan Asia Tenggara | DagangNews Skip to main content

JHM Consolidation, Jiangsu Dekai tubuh syarikat kerjasama bagi memasarkan produk lampu automotif di Malaysia dan Asia Tenggara

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Sept - JHM Consolidation Berhad memterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Jiangsu Dekai Auto Parts Co. Ltd. bagi membentuk syarikat kerjasama yang dikenali sebagai JHM Dekai Auto Lighting Sdn. Bhd.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, syarikat kerjasama itu ditubuhkan bagi mereka bentuk, mengilang, memasarkan, dan menjual produk lampu automotif di Malaysia dan negara Asia Tenggara yang lain.

 

"Menerusi kerjasama itu, JHM akan memiliki pegangan ekuiti sebanyak 55% dalam syarikat itu manakala baki 45% menjadi milik Jiangsu Dekai.

 

"Kedua-dua pihak perlu bekerjasama rapat bagi memanfaatkan kekuatan, pengetahuan dan sumber mereka dalam pasaran produk lampu automotif bagi mencapai bahagian pasaran yang ketara di Malaysia dan negara-negara Asia Tenggara selain berkembang di peringkat global," katanya.

 

Jiangsu Dekai merupakan pengeluar produk Lampu Automotif yang menawarkan perkhidmatan seperti reka bentuk dan kejuruteraan, pengacuan suntikan, pemasangan lampu penuh, dan ujian lampu lengkap untuk pelanggan pengeluar peralatan asal (“OEM”).

 

Perjanjian itu bermula pada 13 September ini dan ia dijangka tidak mempunyai kesan material ke atas pendapatan, aset bersih dan penggearan syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

 

Bagaimanapun, sekiranya perjanjian itu menjadi kenyataan, ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan syarikat. - DagangNews.com