Jika Belanjawan 2020 tidak diluluskan, rakyat yang menderita | DagangNews Skip to main content

Jika Belanjawan 2020 tidak diluluskan, rakyat yang menderita

Parlimen

Oleh Zaidi Isham Ismail
editor@dagangnews.com

 

 

BELANJAWAN 2021 yang dibentangkan pada Jumaat lalu, menerima sokongan ramai. Pelbagai pihak menyatakan rasa puas hati dan gembira dengan penekanan dan tumpuan kerajaan. 

 

Petugas-petugas barisan hadapan, pasukan keselamatan, ahli-ahli ekonomi, ahli akademik dan paling utama, rakyat menyatakan rasa puas hati.

 

Namun, masih wujud rungutan di Parlimen daripada kalangan parti pembangkang dan beberapa penyokong kerajaan sendiri menyatakan sebaliknya, malah berikrar untuk tidak menyokongnya pada 23 November ini. 

 

Apa masalah mereka ini? Bagaimana mereka boleh menjadi sebegitu teruk mementingkan diri sendiri?

 

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak semasa berbahas di Dewan Rakyat semalam berkata, Barisan Nasional akan hanya meluluskan ‘secara bersyarat’ Belanjawan 2021.

 

Beliau berkata BN akan hanya meluluskan Belanjawan 2021 seandainya Kumpulan Wang Simpanan Pekerja membenarkan pengeluaran penuh sebanyak RM10,000 berbanding cadangan RM500 bagi tempoh 12 bulan.

 

Najib berkata BN akan hanya meluluskan belanjawan tersebut jika syarat kedua dipenuhi iaitu moratorium pinjaman disambung selama 6 bulan lagi.

 

Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng juga memberi amaran bahawa pembangkan akan mengagalkan belanjawan itu jika beberapa perkara di dalamnya tidak dimansuhkan.

 

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

 

Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin pula melakukan protes keluar dari Dewan Rakyat kerana membantah kesahihan Najib untuk membahaskan belanjawan kerana sudah didapati bersalah atas tuduhan rasuah.

 

Ya Tuhanku, hendak protes boleh. Proteslah apa sahaja termasuk soal sedemikian tetapi luluskan dahulu belanjawan untuk rakyat ini. Tak perlulah protes keluar dewan.

 

Pastinya, kerajaan dan ahli politik boleh kembali meneliti belanjawan dan mengemaskini serta menambah baik berdasarkan cadangan dan maklum balas daripada sesi perbahasan Ahli Parlimen. 

 

Selepas belanjawan diluluskan, lebih banyak ganjaran boleh disampaikan kepada rakyat secara beransur-ansur.

 

Lupakah bahawa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah sudah mengeluarkan titah supaya ahli politik berhenti berpolitik demi kesejahteraan rakyat menghadapi pandemik COVID-19 sekarang ini.

 

Jadi jika lupa, kita ingin ingatkan semula kepada ahli politik sekalian bahawa anda semua sudah melafazkan ikrar taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah untuk menyokong belanjawan ini, sebelum ia dibentangkan di parlimen awal bulan ini.

 

Ahli politik mudah lupa? Itu semua tahu. Dan kita juga tahu ahli politik yang cuba membangkang Belanjawan 2021 hanyalah ahli politik yang mementingkan diri sendiri dan membangkang demi kepentingan politik semata-mata.

 

parlimen

 

Belanjawan ini adalah sangat penting untuk petugas barisan hadapan mempersiapkan negara bagi berdepan dengan satu lagi gelombang COVID-19, yang sekarang sudah pun menyaksikan angka-angka di atas 600 kes positif setiap hari. Sebanyak RM17 bilion diperlukan.

 

Langkah-langkah ekonomi juga perlu dilaksanakan secepat mungkin untuk memperkasa semula ekonomi.

 

Perusahaan berskala kecil dan sederhana (PKS) memerlukan bantuan untuk memulakan semula perniagaan mereka.

 

Dan rakyat memerlukan bantuan kewangan untuk kesinambungan hidup dan seterusnya menyalakan semula ekonomi domestik.

 

Ketua percukaian firma PWC, Fung Mei Ling berkata kerajaan perlu membuat persediaan sekarang untuk menghadapi pandemik dan semua dana perlu diagih-agihkan.

 

Pertubuhan bukan kerajaan Kelab Perantau Fairuz Mohamed selaku presiden berkata semua peniaga kehabisan wang simpanan mereka dan terdesak untuk mendapatkan bantuan wang tunai untuk memulakan perniagaan mereka.

 

Yang nyata dan jelas, rakyat memerlukan bantuan sekarang dan kita semakin kesuntukan masa.

 

Bila dilihat perkembangan di Dewan Rakyat sehari dua ini, mungkin ada rasionalnya kita rasa sekarang mengapa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta diisytiharkan darurat daripada Yang di-Pertuan Agong.

 

Muhyiddin bimbang akan berlaku bantahan yang boleh mengagalkan sama sekali belanjawan negara dan hanya titah perintah Yang di-Pertuan Agong boleh memastikannya diluluskan untuk dilaksanakan.

 

Berhentilah berpolitik wahai semua Ahli Parlimen. Simpanlah dulu kepentingan politik masing-masing buat masa sekarang.

 

Utamakan rakyat. Luluskan Belanjawan 2021.  Rakyat amat memerlukannya sekarang. Tolonglah.            - DagangNews.com