JLand perluas portfolio hartanah sempena pelancaran identiti jenama baharu | DagangNews Skip to main content

JLand perluas portfolio hartanah sempena pelancaran identiti jenama baharu

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Johor Land Berhad (JLand), cabang pembangunan hartanah dan anak syarikat milik penuh JLand Group (JLG) yang merupakan perniagaan hartanah dan infrastruktur Johor Corporation, mengumumkan rancangan perluasan fasa seterusnya sempena pelancaran identiti jenamanya yang baharu. 

 

Logo dan tawaran jenama baharu, “Enhancing Wellbeing, Enriching Community” jelas menandakan langkah seterusnya dalam usaha mencapai pertumbuhan strategik portfolio menerusi pembangunan kediaman, komersial dan perindustrian untuk menguasai jangkauan pasaran lebih luas, dan juga memenuhi permintaan dijangkakan bagi hartanah berasaskan ciri-ciri demografi dinamik. 

 

Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation merangkap Pengerusi JLand, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim berkata, sepanjang lima dekad lepas, JLand merupakan perintis dalam mengubah landskap hartanah Johor. 

 

Beliau berkata, pihaknya memiliki peluang terbaik untuk terus mempertingkatkan tahap dengan membangunkan projek pembinaan yang inovatif dan lestari, menetapkan piawai yang akan memberi manfaat kepada generasi hari ini dan akan datang.

 

"Untuk memastikan bukan sahaja kemampanan JLand bagi tahun-tahun akan datang, saya menggesa untuk membayangkan semula Johor Land yang baharu dan kalis masa hadapan. 

 

"Kita ingin memastikan JCorp melalui Johor Land dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri di samping mengekalkan semangat keusahawanan yang telah memacu kejayaan Johor Land,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Pengarah Eksekutif JLand, Mohd Yusof Ahmad pula berkata, bagi membuka lembaran baharu, mereka akan menggunapakai strategi pembangunan bersasar dalam fasa perkembangan seterusnya untuk melaksanakan projek-projek pembangunan, dan juga mempelbagaikan portfolio aset ke dalam bidang hartanah kediaman, komersial dan perindustrian. 

 

 

jland
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman merasmikan jenama baharu JLand.

 

 

"Konsep pembangunan ini bakal menjadi model pertumbuhan lestari pada masa hadapan dalam usaha kami membina ekosistem yang terhubung dan sesuai dihuni bagi masyarakat, penduduk dan perusahaan, sejajar dengan misi teras kami," katanya.

 

Memanfaatkan pertumbuhan sektor hartanah perindustrian, JLand akan menerajui pembangunan Lembah Teknologi Sedenak, terutamanya dengan pelancaran fasa perintis Discovery City seluas 325 ekar pada 2023. 

 

JLand juga melancarkan rancangan strategik bagi beberapa projek pembangunan utama di negeri ini. Bandar Tiram bakal menempatkan pembangunan Tebing@Bandar Tiram seluas 28 ekar menjelang awal 2023, dengan matlamat mencontohi kejayaan dan unsur berinspirasi alam, mesra perusahaan dan bertumpukan masyarakat Bandar Dato’ Onn yang terdahulu. 

 

 

jland

 

 

Tambahan lagi, Bandar Dato’ Onn juga bakal melaksanakan perancangan semula pelan induk untuk menyokong kedudukannya sebagai destinasi kesejahteraan bagi semua gaya dan kitaran hidup, dengan pembangunan baharu bagi Green Landed Residences pada 2024. 

 

JLand juga akan melaksanakan inisiatif untuk meniup nafas baharu bagi Arena Larkin, sebuah hab perbandaran generasi akan datang seluas 235 ekar di daerah Larkin. Salah satu pembangunannya ialah fasa perintis Central Park, yang merupakan hab komersial dan runcit di Arena Larkin menjelang 2024. - DagangNews.com