John Soh Chee Wen, Quah Su-Ling didapati bersalah manipulasi pasaran saham | DagangNews Skip to main content

John Soh Chee Wen, Quah Su-Ling didapati bersalah manipulasi pasaran saham

John Soh Chee Wen (kiri) dan Quah Su-Ling, didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Singapura dalam pertuduhan kes manipulasi pasaran saham di Singapura.

SINGAPURA 6 Mei - Ahli perniagaan terkemuka Malaysia, John Soh Chee Wen dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Ipco International, Quah Su-Ling, didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Singapura dalam pertuduhan kes manipulasi pasaran saham di republik itu.

 

Mereka berdua didapati terlibat dalam menghapuskan AS$5.8 bilion (RM25.2 bilion) daripada pasaran saham Singapura pada Oktober 2013.

 

Chee Wen dan Su-Ling masing-masing disabitkan kesalahan itu apabila menggunakan lebih 180 akaun dagangan untuk menaikkan harga saham tiga syarikat.

 

Pendakwa raya yang menggelarnya sebagai 'kes paling serius' manipulasi pasaran saham dalam sejarah republik itu.

 

Keputusan itu dibuat pada akhir perbicaraan yang didengar di hadapan Hakim Hoo Sheau Peng selama hampir 200 hari, melibatkan hampir 100 saksi pendakwaan.

 

Hakim menjelaskan bagaimana tertuduh merancang penipuan yang rumit lagi terperinci, bagi memanipulasi harga saham syarikat Blumont Group, Asiasons Capital dan LionGold Corp.

 

Hoo mendapati Soh dan Quah berkomplot untuk memanipulasi pasaran dan harga bagi tiga saham sen dengan mengawal, mendapatkan pembiayaan, menjalankan aktiviti perdagangan tidak sah dan menyelaraskan penggunaan 189 akaun dagangan sekuriti mereka. 

 

Akaun ini telah diadakan dengan 20 institusi kewangan atas nama 60 individu dan syarikat.

 

Kes pendakwaan ialah kedua-dua mereka menggunakan hubungan peribadi dan profesional untuk mendapatkan kawalan ke atas 164 akaun, dengan baki 25 akaun di bawah nama Quah sendiri atau syarikat di bawah kawalannya.

 

Sebahagian besar pertuduhan mereka iaitu 106 pertuduhan menipu institusi kewangan dengan menyembunyikan penglibatan mereka ketika memberi arahan untuk membuat pesanan dan perdagangan.

 

Soh juga didapati bersalah dengan meminta empat saksi berbohong kepada penyiasat selepas kejatuhan pasaran saham.

 

Perbicaraan ditangguhkan untuk dijatuhkan hukuman pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian. 

 

Quah kekal dengan jaminan, manakala Soh telah ditahan reman.

 

Tertuduh ketiga, Goh Hin Calm, 59, sebelum ini dijatuhi hukuman penjara tiga tahun pada 2019 selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan perdagangan palsu dan penipuan pasaran, lapor Channel News Asia.

 

Goh, ketika itu merupakan pengurus kanan kewangan dan pentadbiran di IPCO, memberikan Soh dan Quah dengan berbilang akaun dagangan yang dibuka atas nama beliau dan isterinya dan menerima serta membuat pembayaran untuk skim tersebut. - DagangNews.com