Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
[email protected]
JOHOR BAHRU 18 Nov - Belanjawan Johor 2022 menyaksikan peningkatan defisit sebanyak RM38.33 juta menjadikan jumlahnya RM286.47 juta, tahun ini.
Pada tahun lalu, Johor turut membentangkan belanjawan defisit berjumlah RM248.14 juta dan ia merupakan kali kedua negeri itu mencatatkan defisit selepas merekodkan belanjawan lebihan untuk tempoh 10 tahun berturt-turut.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, unjuran hasil negeri berjumlah RM1.671 bilion, manakala unjuran perbelanjaan pula sebanyak RM1.958 bilion, pada tahun hadapan.
Belanjawan yang bertemakan 'Memperhebat Kesejahteraan Johor' itu dipilih sejajar dengan hasrat kerajaan Johor untuk memastikan kelangsungan hidup rakyat negeri ini yang terjejas berikutan pandemik COVID-19.
"Segala pertimbangan bagi Belanjawan Johor 2022 dipandu oleh dua asas utama iaitu pertama, mendekati dan meringankan beban rakyat yang terjejas akibat COVID-19 dan keduanya, mempergiatkan usaha awalan dalam memulihkan sektor ekonomi negeri secara menyeluruh.
"Menerusi Belanjawan 2022, kerajaan Johor memperuntukkan perbelanjaan mengurus sebanyak RM1.087 bilion manakala RM870 juta untuk perbelanjaan pembangunan dan ia akan digunakan bagi melaksana empat indikator dan 12 agenda utama dalam belanjawan berkenaan," katanya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di Bangunan Sultan Ismail, hari ini.
Hasni berkata, anggaran hasil dan defisit itu tertakluk kepada tahap ketidakpastian yang tinggi dipengaruhi beberapa faktor utama antaranya kemunculan varian COVID-19 baharu yang tinggi, impak sosial dan pembukaan sempadan antarabangsa.
"Bagi prestasi pelaksanaan Belanjawan Johor 2021 pula, sebanyak 141 inisiatif dengan peruntukan keseluruhan RM850 juta telah mencapai 85.1 peratus pelaksanaan setakat suku ketiga tahun 2021.
"Selepas Johor mengalami penguncupan 4.6 peratus pada 2020, ekonomi Johor diunjurkan berkembang sekitar 3.5% sehingga 4.1% pada tahun depan dan ekonomi negeri dijangka terus berkembang pada tahap prakrisis pada separuh tahun hadapan," katanya.-Dagangnews.com