Johor berjaya tarik lebih 50 pusat data dalam dua tahun | DagangNews Skip to main content

Johor berjaya tarik lebih 50 pusat data dalam dua tahun

Sedenak Tech Park (STeP) mempunyai kapasiti lebih satu gigawatt (GW) - Gambar Lee Eng Keat
Oleh BERNAMA

KUALA LUMPUR 4 Julai - Johor berjaya menarik lebih 50 pusat data dalam tempoh dua tahun lalu dengan Sedenak Tech Park (STeP) sahaja mempunyai kapasiti lebih satu gigawatt (GW), kata Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.

 

Beliau berkata, pertumbuhan pesat dalam industri pusat data menunjukkan keupayaan Johor menjadi hab pusat data baharu di Asia.

 

 

"Singapura mengambil masa selama 15 tahun untuk menjadikan negara itu sebagai hab data dengan lebih 70 pusat data dengan kapasiti berjumlah 1.4 GW, sebaliknya, Johor menarik lebih 50 pusat data dalam tempoh dua tahun lalu.

 

 

sedenak

 

sedenak

 

 

"Pertumbuhan pesat industri pusat data di Johor menunjukkan negeri ini berada di landasan untuk menjadi sebagai hab pusat data baharu di Asia," katanya dalam ucapan pada Majlis Pelancaran Kampus Princeton Digital Group JH1, di sini pada Rabu.

 

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor, Lee Ting Han.

 

 

iktisad

 

Onn Hafiz berkata, Johor merupakan satu daripada negeri yang berkembang paling pantas yang terkenal dengan dorongan kuat ke arah ekonomi digital dengan dasar kerajaan yang teguh, kesalinghubungan dan infrastruktur yang kukuh.

 

"(Justeru) bagi menggerakkan pusat data, kerajaan negeri juga akan lebih berpilih, menekankan kepada penggunaan teknologi hijau dan tenaga boleh baharu," katanya.

 

Sementara itu, beliau berkata Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) akan menawarkan peraturan dan insentif ekonomi khas, mewujudkan persekitaran yang menarik bagi pelabur.

 

"Walaupun pertumbuhan ekonomi dan digital adalah penting, penglibatan komuniti memastikan kemajuan memberi manfaat kepada semua orang dan menggalakkan pembangunan inklusif," katanya. - DagangNews.com