Johor Plantations Group meterai perjanjian taja jamin bersama 4 bank pelaburan bagi penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Johor Plantations Group meterai perjanjian taja jamin bersama 4 bank pelaburan bagi penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Mei - Johor Plantations Group Berhad memeterai perjanjian taja jamin dengan RHB Investment Bank Bhd, AmInvestment Bank Bhd, CIMB Investment Bank Bhd dan Affin Hwang Investment Bank Bhd bagi menerbitkan tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities pada suku ketiga 2024.

 

Kumpulan itu berkata, IPO tersebut membabitkan terbitan awam sebanyak 464.0 juta saham baharu dan tawaran untuk jualan sehingga 411 juta saham sedia ada melibatkan tawaran institusi sebanyak 797.5 juta saham, mewakili 31.9% daripada modal saham diperbesarkan.

 

Sejumlah 312.5 juta saham diperuntukkan kepada pelabur awam Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan 485 juta saham untuk pelabur institusi Malaysia dan pelabur terpilih serta pelabur institusi asing serta pelabur terpilih di luar Amerika Syarikat.

 

Tawaran runcit sebanyak sebanyak 77.5 juta saham terbitan mewakili 3.1% daripada modal saham diperbesarkan dengan 50 juta saham akan diperuntukkan kepada permohonan orang awam Malaysia melalui undian, di mana 25 juta saham akan dikhaskan untuk pelabur awam Bumiputera.

 

Baki sejumlah 27.5 juta saham akan diperuntukkan kepada permohonan oleh individu yang layak yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan.

 

RHB Investment Bank sebagai pengurus penaja jamin dan penaja jamin bersama dengan AmInvestment Bank, CIMB Investment Bank dan Affin Hwang Investment sebagai penaja jamin bersama akan menaja jamin keseluruhan 77.5 juta terbitan di bawah tawaran runcit. 

 

Pengarah Urusan Johor Plantations Group, Mohd Faris Adli Shukery berkata, menerusi penyenaraian itu, pihaknya bersedia menjadi pemain industri sawit bersepadu di dalam segmen hiliran bagi mengukuhkan lagi kedudukan dalam kalangan pemain industri. 

 

"Sasaran kami adalah untuk menghasilkan minyak dan lelemak khusus, bersama-sama dengan produk hiliran sawit bernilai tinggi yang lain yang sesuai bagi industri makanan.

 

"Langkah strategik ini dipacu bagi mengukuhkan kedudukan kumpulan sebagai sebuah syarikat pengeluar sawit bersepadu dan membolehkan kami memperoleh margin keuntungan yang lebih tinggi di sepanjang keseluruhan rantaian nilai," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Perbankan Borong Kumpulan RHB, Datuk Fad’l Mohamed berkata, pihaknya benar-benar menghargai kepercayaan dan kerjasama yang telah dibina bersama Johor Corporation serta Johor Plantations Group dan berbesar hati untuk peluang memainkan peranan penting dalam terbitan IPO itu.

 

"Kami percaya kumpulan tu bersedia untuk kejayaan yang lebih besar lagi apabila mereka memulakan fasa pertumbuhan seterusnya. Kami komited untuk terus maju bersama kumpulan itu bagi memenuhi aspirasi mereka," katanya.

 

RHB Investment Bank merupakan penasihat utama, penyelaras globa, pengumpul buku bersama, pengurus penaja jamin dan penaja jamin untuk pelaksanaan IPO itu.

 

AmInvestment Bank dan CIMB Investment Bank merupakan penyelaras global bersama, pengumpul buku bersama dan penaja jamin bersama. 

 

CLSA Singapore Pte Ltd dan CLSA Securities Malaysia Sdn Bhd adalah penyelaras global bersama dan pengumpul buku bersama manakala Affin Hwang Investment Bank merupakan pengumpul buku dan penaja jamin bersama. - DagangNews.com