Johor Port sumbang RM2 juta dana tambahan kepada Tabung Endowmen UTM | DagangNews Skip to main content

Johor Port sumbang RM2 juta dana tambahan kepada Tabung Endowmen UTM

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Julai - Johor Port Berhad (Johor Port) menyumbangkan dana tambahan sebanyak RM2 juta kepada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi Tabung Endowmen UTM untuk tempoh empat tahun.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Johor Port Berhad, Md. Derick Basir berkata, dana tambahan itu adalah susulan daripada dana sebelum ini berjumlah RM5 juta bagi tempoh 2013 hingga 2018, manakala RM3 juta untuk 2019 sehingga 2021.

 

Beliau berkata, penubuhan tabung itu bertujuan membantu membiayai pengajian pelajar UTM yang cemerlang akademik khususnya mereka daripada keluarga kurang berkemampuan.

 

“Sumbangan berterusan kepada Tabung Endowmen UTM dapat membantu pelajar untuk meneruskan pengajian dan ia secara tidak langsung dapat melahirkan bakat muda berprestasi tinggi. 

 

"Kami gembira dapat memainkan peranan memperkasa pelajar universiti melalui sumbangan dana ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Md. Derick berkata, pihaknya melalui JP Skills Centre juga bekerjasama dengan UTM bagi program Sarjana Profesional dalam Pengurusan Pelabuhan.

 

Beliau berkata, program perintis pertama yang diperkenalkan di Malaysia itu melibatkan modul kursus kontemporari yang direka untuk meningkatkan asas dan pengetahuan operasi profesional pelabuhan bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di luar negara.

 

“Selain itu, ia juga bertujuan untuk berkongsi pengetahuan, kepakaran dalam pengurusan pelabuhan dan mengukuhkan pengurusan serta pembangunan bakat dalam komuniti pelabuhan.

 

“Sebagai sebuah pelabuhan pelbagai guna bersepadu di wilayah Selatan, Johor Port bukan sahaja menjadi pemangkin kepada pelbagai industri komoditi, pembuatan dan aktiviti minyak dan gas, malah ia juga sebuah organisasi yang prihatin dalam membentuk serta membangun masyarakat berpengetahuan," katanya. - DagangNews.com