JPJ tawar diskaun saman 70% sempena bulan kemerdekaan | DagangNews Skip to main content

JPJ tawar diskaun saman 70% sempena bulan kemerdekaan

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) bersetuju memberikan tawaran pengurangan pembayaran saman hingga 70% kepada semua saman JPJ yang boleh dikompaun.

 

Tawaran itu bagaimanapun dikecualikan bagi kes yang masih dalam sebutan pihak Mahkalah termasuk yang berstatus waran tangkap atau perbicaraan.
 

 

Menurut JPJ, tawaran tersebut diberi bersempena dengan sambutan hari kemerdekaan Malaysia ke064 yang bertemakan 'Malaysia Prihatin' bagi tahun 2021.

 

"Pengurangan kompaun yang bermula pada 18 Ogos hingga 16 September 2021 ini akan diberikan kepada semua notis saman yang telah dikeluarkan bagi kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Akta 334), serta kaedah-kaedah dan perintah-perintah di bawahnya termasuk kes yang masih dalam tindakan Senarai Hitam.

 

"Pengurangan ke atas notis saman tersebut adalah berdasarkan kepada kadar kompaun semasa yang terdapat dalam sistem mySIKAP JPJ," jelas JPJ dalam satu kenyataan hari ini.

 

Tawaran berkenaan turut diberikan kepada semua saman yang masih aktif dan tempoh kompaunnya masih berkuatkuasa dengan syarat pembayaran dilakukan dalam tempoh yang dinyatakan iaitu hingga 16 September 2021.

 

JPJ berkata, urusan pembayaran notis saman itu boleh dibuat di semua pejabat JPJ negeri, cawangan dan UTC, kiosk atau secara dalam talian melalui portal mySIKAP JPJ.

 

"Bagi pesalah lalu lintas yang telah disenarai hitam, pesalah dikehendaki untuk hadir semula ke pejabat JPJ cawangan atau negeri bagi tujuan proses dokumentasi semula, sebelum sebarang urusan pembayaran dapat dilakukan," ujar JPJ lagi. - DagangNews.com