Jual syarikat kepada Syed Mokhtar, saham KUB susut | DagangNews Skip to main content

Jual syarikat kepada Syed Mokhtar, saham KUB susut

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 9 April - Saham KUB Malaysia Berhad susut 1.48% kepada 66.5 sen seunit setakat 10.03 pagi ini susulan penjualan unit perladangannya, KUB Malua Plantation Sdn Bhd., kepada Tradewinds Plantation Bhd. 

 

Tradewinds Plantation adalah sayap perladangan milik bilionair terkemuka Malaysia, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary. 

 

Penjualan aset itu melibatkan tunai berjumlah RM10 juta.

 

Menurut laporan tahunan KUB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019, KUB Malua memiliki 1,534 hektar tanah perladangan di Kinabatangan.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia semalam, KUB berkata, kumpulan akan menggunakan sebahagian jualan itu untuk menyelesaikan pembayaran semula prinsipal bagi kemudahan pembiayaan berjumlah RM75 juta yang diberikan oleh Bank Islam mulai 1 Oktober 2020 hingga selesai penjualan. 

 

Bayaran semula itu dianggarkan sebanyak RM1.7 juta.

 

Jelas KUB, cadangan penjualan itu membolehkan KUB melupuskan entiti yang kurang menyerlah dalam kumpulan dan tidak sinergetik dan kos efisien kepada perniagaan perladangan minyak sawit kumpulan.  

 

Malah, langkah itu juga dijangka akan mengukuhkan kedudukan kewangan kumpulan dengan mengurangkan keseluruhan tahap hutang dan perbelanjaan faedah disebabkan penyatuan pinjaman bank KUB Malua.

 

KUB turut menyatakan kumpulan dijangka mencatatkan kerugian bersih sekali yang dianggarkan susulan pelupusan RM18.9 juta berikutan tidak dapat dipulihkan antara syarikat sebelumnya kepada KUB Malua.

 

Setakat 30 April 2020, JAG Capital Holdings, entiti persendirian milik bekas menteri kewangan kedua dan pengerusi KUB, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, adalah pemilik terbesar kumpulan dengan pegangan 32.96%. 

 

Anchorscape Sdn Bhd., yang dikaitkan dengan entiti milik UMNO pula memiliki 10.53% pegangan. - DagangNews.com