Jualan asing merosot selepas PRU15, kembalinya sentimen risiko global- Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Jualan asing merosot selepas PRU15, kembalinya sentimen risiko global- Kenanga Research

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 9 Dis - Jualan asing bagi bon Malaysia berkurangan pada November, apabila permintaan meningkat menjelang akhir bulan lalu berikutan pembentukan kerajaan perpaduan yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Malah, ia turut dipengaruhi dengan kembalinya sentimen risiko global dengan pasaran mengambil kira pendirian Rizab Persekutuan Amerika Syarikaf (AS) yang kurang 'hawkish', demikian menurut Kenanga Research. 

 

Ini berpunca daripada jualan asing yang berpotensi kukuh pada awal November menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dan di tengah-tengah tempoh penggantungan sementara Parlimen.

 

Bagi pasaran ekuiti, pelabur asing kekal sebagai penjual bersih untuk bulan ketiga berturut-turut.

 

Aliran keluar asing berlegar lebih rendah pada November sebanyak RM300 juta berbanding RM600 juta pada bulan sebelumnya, di tengah-tengah ketidaktentuan politik dalam negeri yang reda.

 

Secara keseluruhan, pasaran modal merekodkan aliran keluar bersih terendah dalam tempoh tiga bulan sebanyak RM1.3 bilion berbanding Oktober pada RM6.9 bilion.

 

Purata hasil Perbendaharaan AS 10 tahun jatuh sebanyak 16 mata asas (bps) kepada 3.87% pada November, manakala hasil purata Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun turun 13 bps kepada 4.3%, melebarkan tebaran hasil purata buat kali pertama dalam tempoh lima bulan (43 bps; Okt : 39 bps).

 

Kenanga Research berkata, pasaran hutang mungkin mencatat sedikit aliran masuk bersih pada Disember 2022, disokong kestabilan politik dan pelantikan Perdana Menteri baharu.

 

Katanya, permintaan asing mungkin dirangsang dengan mengurangkan penghindaran risiko global berikutan komen yang agak 'dovish' daripada Rizab Persekutuan AS (Fed) dan tanda-tanda bahawa inflasi AS semakin reda.

 

"Bagaimanapun, risiko aliran keluar kekal di tengah-tengah jurang kadar yang semakin melebar antara Bank Negara Malaysia (BNM) dan Fed, dengan bank pusat AS secara meluas dijangka menaikkan kadar sebanyak 50 bps lagi pada mesyuaratnya yang akan datang (13 hingga 14 Disember).
 

"Oleh itu, kami menjangkakan pulangan aliran masuk asing yang lebih mampan mulai suku kedua 2023 dan seterusnya, apabila kebanyakan bank pusat utama berkemungkinan akan melengkapkan kitaran pengetatan," jelasnya.

 

Firma itu menjangkakan BNM akan menaikkan lagi 25 bps kadar dasar semalaman (OPR) dalam mesyuaratnya pada 18 hingga 19 Januari 2023, berdasarkan kepada momentum pertumbuhan yang kukuh dan kenaikan inflasi teras secara berterusan.

 

"Bagaimanapun, disebabkan ketidaktentuan ekonomi global yang semakin meningkat dan potensi kelembapan domestik pada akhir tahun, kami pada masa ini hanya memperuntukkan kebarangkalian 50% untuk kenaikan 25 bps lagi pada Mac," tambahnya. - DagangNews.com