Jualan dan untung bersih Power Root dijangka meningkat didorong pertumbuhan positif segmen eskport, kata CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

Jualan dan untung bersih Power Root dijangka meningkat didorong pertumbuhan positif segmen eskport, kata CGS-CIMB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Dis - CGS-CIMB Research menjangkakan jualan dan keuntungan bersih Power Root Berhad meningkat didorong pertumbuhan dalam segmen eksport, pelancaran produk baharu serta pembinaan jenamanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'tambah' tetapi menurunkan harga sasaran (TP) kepada RM2.20 berbanding RM2.80 sesaham bagi mencerminkan potongan unjuran pendapatan sesaham (EPS) antara 10% hingga 22% pada FY24 hingga FY26.

 

Katanya, antara pemacu utama pandangan optimisnya terhadap Power Root adalah disebabkan oleh peningkatan jualan eksport ke Asia Barat dan sumbangan jualan yang lebih tinggi dari Arab Saudi, ketika pengedar baharunya meningkatkan inisiatif jualan.

 

Kenaikan harga yang progresif di seluruh pasaran Asia Barat sehingga FY25 dan skala ekonomi yang lebih tinggi pada kadar penggunaan yang lebih tinggi juga merupakan sebab yang dijangka memacu pertumbuhan jualan dan untung bersihnya.

 

Sementara itu, ia menjangkakan untuk melihat pemulihan dalam jualan domestik Power Root, disokong oleh dasar pengembangan kerajaan dengan pemberian tunai langsung dan semakan gaji penjawat awam yang berpotensi pada tahun 2024.

 

CGS-CIMB menyatakan bahawa jualan domestik produk Frenche Roast premium meningkat 26% pada 1HFY23/24, menyumbang kira-kira 9% daripada jualan berbanding 5% pada 2023.

 

Ia menambah bahawa jualan produk Ah Huat juga meningkat dari tahun ke tahun, didorong oleh kempen promosi dan pemasarannya yang berterusan.

 

“Kami percaya ini menekankan keberkesanan inisiatif pembinaan jenamanya yang berterusan (iaitu kempen pemasaran pengaruh dan peraduan yang disasarkan), yang boleh membantu memacu momentum jualannya dari 4QFY24 dan seterusnya.

 

“Kami percaya ini adalah tanda kekuatan R&D (penyelidikan & pembangunan). Selain itu, pihak pengurusan juga berkata bahawa ia akan meningkatkan reka bentuk pembungkusan produknya untuk minuman tenaga dan jenama Oligo dalam 2HFY2024F/FY2025F, menjadikan produknya lebih berdaya saing,” kata CGS-CIMB. - DagangNews.com