Jualan ekuiti asing memperlahan minggu lalu kepada RM120.6 juta | DagangNews Skip to main content

Jualan ekuiti asing memperlahan minggu lalu kepada RM120.6 juta

Bursa Malaysia
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 12 Julai - Kadar jualan dana asing di Bursa Malaysia memperlahan pada minggu lalu kepada RM120.6 juta ekuiti bersih, kira-kira separuh daripada jumlah pada minggu sebelumnya.

 

Menurut MIDF Research, ini adalah sejajar dengan jualan bersih yang dilihat dalam ekuiti Asia, yang juga perlahan dalam jualan minggu kelima berturut-turut.

 

"Berdasarkan data agregat sementara untuk tujuh bursa Asia yang kami jejaki, pelabur yang diklasifikasikan sebagai 'asing' menjual ASD$271 juta bersih minggu lepas, dengan ketara berbanding jualan bersih sebanyak AS$3.01 bilion pada minggu sebelumnya," kata firma penyelidikan itu.

 

MIDF menyatakan bahawa pelabur asing adalah penjual bersih pada setiap hari minggu lalu kecuali pada hari Selasa dan Jumaat.

 

Hari jualan paling teruk adalah pada hari Isnin dengan RM79.4 juta jualan bersih ekuiti.

 

Berikutan penjualan itu, aliran masuk bersih dana antarabangsa ke pasaran domestik setakat tahun ini mengecil kepada RM5.95 bilion.

 

Sementara itu, institusi tempatan kekal sebagai pembeli bersih untuk minggu kedua berturut-turut dengan RM29.9 juta pembelian bersih.

 

Begitu juga dengan peruncit tempatan, yang merekodkan belian bersih RM90.69 juta pada minggu itu.

 

MIDF melaporkan berdasarkan sektoral, sektor produk dan perkhidmatan perindustrian, teknologi dan pengangkutan mencatat aliran keluar bersih tertinggi minggu lepas dengan masing-masing RM44.6 juta, RM42.5 juta dan RM32.6 juta.

 

Tiga sektor teratas dengan aliran masuk bersih tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (RM20.6 juta), penjagaan kesihatan (RM16.4 juta) dan perladangan (RM8.8 juta).

 

Dari segi penyertaan, pelabur asing, pelabur institusi dan peruncit menyaksikan penurunan dalam purata nilai dagangan harian masing-masing sebanyak 18.2%, 21% dan 14.2%. - DagangNews.com