Jualan kenderaan baharu pada Mei 2024 melonjak 9% kepada 68,665 unit | DagangNews Skip to main content

Jualan kenderaan baharu pada Mei 2024 melonjak 9% kepada 68,665 unit

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Jun - Jualan kenderaan baharu di Malaysia melonjak 9% kepada 68,665 unit pada Mei 2024 berbanding 63,158 pada bulan yang sama tahun sebelumnya, kata Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

 

MAA dalam satu kenyataan berkata, jumlah jualan keseluruhan industri kenderaan (TIV) dari bulan ke bulan adalah 18% lebih tinggi berbanding  57,991 unit pada April dan pada masa sama mengaitkan peningkatan itu didorong hari bekerja yang lebih panjang dan prestasi pengeluar kereta nasional yang lebih kukuh.

 

"Sejumlah 62,862 kenderaan penumpang (PV) telah dijual pada Mei, meningkat 11% daripada 56,448 unit yang dijual setahun sebelumnya, manakala jualan kenderaan komersial (CV) turun 14% tahun ke tahun kepada 5,803 unit berbanding 6,710 unit," katanya.

 

Sehingga kini, jumlah jualan meningkat 8% kepada 328,901 unit berbanding 303,575 unit yang didaftarkan pada Januari hingga Mei 2023.

 

Katanya, jualan PV meningkat 11% kepada 301,109 unit daripada 270,999 unit, tetapi jualan CV turun 15% kepada 27,792 unit daripada 32,576 unit.

 

"Daripada jumlah itu, 70,132 unit adalah PV, lonjakan sebanyak 16% daripada 60,931 unit tahun sebelumnya, manakala CV terdiri daripada 4,042 unit, turun 11% daripada 4,539 unit," katanya.

 

MAA berkata,  sehingga kini sejumlah 341,500 unit telah dikeluarkan, 12% lebih tinggi daripada 304,484 unit yang dikeluarkan dalam tempoh yang sama tahun lepas. 

 

Ini termasuk 323,188 PV, naik 13% dari tahun ke tahun berbanding 285,203 unit, dan 18,312 CV, turun 5% daripada 19,281 unit.

 

Mengulas mengenai prospek Jun, MAA menjangkakan jualan dikekalkan pada tahap yang sama seperti bulan sebelumnya. - DagangNews.com