Jualan kenderaan di Malaysia diunjur lebih rendah tahun ini - MIDF | DagangNews Skip to main content

Jualan kenderaan di Malaysia diunjur lebih rendah tahun ini - MIDF

Sekadar gambar hiasan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 23 Sept. - Tahun 2021 dijangka menyaksikan jumlah jualan industri (TIV) automotif yang lebih rendah ekoran penguatkuasaan ‘lockdown’ selama lebih dua bulan. 

 

Penganalisis di MIDF Research, Hafriz Hezry berkata, firmanya menyemak turun unjuran TIV kepada 509,951 unit daripada 550,000 unit yang mencerminkan 3.7% penguncupan. 

 

Katanya, ini susulan semak turun yang dibuat ke atas syarikat di bawah liputan MIDF selepas musim pengumuman prestasi kewangan, yang mengambil kira aspek pengeluaran lebih rendah.

 

“Dari segi permintaan, bagaimanapun, tempahan kekal kukuh memandangkan pemain industri menerima tempahan tertunggak dua hingga empat bulan sebelum ‘lockdown’.

 

“Kami menjangkakan permintaan akan mengukuh dalam masa terdekat ini setelah mengambil kira sokongan daripada pengecualian cukai sehingga hujung tahun dan pembukaan semula bilik pameran di seluruh negara. 

 

“Kami juga menjangkakan TIV akan melonjak semula sebanyak dua digit pada 2022, dengan andaian tiada gangguan lagi,” jelas Hafriz dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

 

TIV pada Ogos 2021 melonjak 147% kepada 17,500 unit berbanding bulan sebelumnya, susulan pembukaan semula sektor automotif sejak pertengahan Ogos. 

 

Angka itu bagaimanapun menguncup 68% berbanding Ogos 2020 ekoran hanya setengah bulan sahaja dibenarkan beroperasi. 

 

Setakat ini, TIV telah menguncup 4.4% berbanding tempoh sama pada tahun lalu, kepada 273,757 unit.

 

Kata Hafriz, prestasi TIV dijangka mencatatkan angka yang lebih kukuh pada bulan ini, di mana bakal mencerminkan operasi penuh bagi jualan dan pembuatan. 

 

Firma itu kekal positif ke atas sektor berkenaan ekoran impak ‘lockdown’ ke atas unjurannya hanya menjejaskan pengeluaran, sementara permintaan buat masa ini dilihat masih kukuh. 

 

MIDF memilih Bermaz Auto Berhad, MBM Resources Berhad dan UMW Holdings Berhad, di mana kesemua syarikat tersenarai itu diberikan penarafan ‘beli’. - DagangNews.com