Jualan kenderaan import terpakai dijangka terus susut - Pekema | DagangNews Skip to main content

Jualan kenderaan import terpakai dijangka terus susut - Pekema

Jualan kenderaan import terpakai

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 1 Mac - Penularan wabak COVID-19 yang melanda negara ini mengakibatkan iklim perdagangan import kenderaan di Malaysia menjadi lembab.

 

Keadaan itu disebabkan oleh negara-negara pengeksport seperti Jepun, United Kingdom (UK), Australia dan Afrika Selatan turut terbeban dengan pandemik yang sama.

 

Perkara tersebut juga mengheret kenaikan paras harga kenderaan import terpakai di negara berkenaan.

 

Dalam pada itu, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 turut memberi tempias kepada prestasi jualan kenderaan import terpakai di negara ini.

 

Meskipun syarikat pengimport kenderaan terpakai  dibenar untuk beroperasi, pelaksanaan PKP 2.0 itu tetap memberi kesan langsung kepada ekosistem perniagaan sekali gus menjejaskan perolehan syarikat.

 

Presiden Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema), Datuk Zainuddin Abdul Rahman berkata, situasi tersebut sudah tentu turut memberi kesan ke atas prestasi perdagangan industri pengimportan kenderaan terpakai.

 

Zainuddin Abdul Rahman
Zainuddin Abdul Rahman

 

"Statistik penjualan kenderaan import terpakai dijangka akan terus menurun. Pada tahun 2019 jumlah jualan ialah 22,244 unit, manakala pada tahun 2020 merosot kepada 21,548 unit. 

 

"Pihak kerajaan telah meluluskan pengecualian 50% cukai jualan yang dikenakan ke atas pengimportan Kereta Penumpang CBU import Terpakai di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) bagi membantu meningkatkan prestasi jualan. 

 

"Tanpa diskaun ini, besar kemungkinan aktiviti pemasaran tidak dapat membantu untuk meningkatkan prestasi jualan," katanya kepada DagangNews.com.

 

Mengulas berkaitan dengan punca penurunan tersebut, beliau memberitahu, ia bukan disebabkan kurangnya minat pembeli tetapi disebabkan harga kenderaan yang tidak kompetatif. 

 

Peningkatan harga kenderaan import terpakai didorong beberapa faktor percukaian yang terlalu tinggi (di antara tertinggi di dunia).

 

Selain itu, tiadanya insentif cukai seperti pemansuhan duti import 30% di bawah MJEPA yang dinikmati oleh kenderaan import baharu, kos levi RM10 ribu bagi setiap AP Terbuka, tiada insentif dan geran untuk industri ini dan sebagainya.

 

"Pekema memohon kepada pihak kerajaan untuk mengkaji permohonan Pekema khususnya bagi melaksanakan kajian semula ke atas cukai kenderaan import Terpakai dan insentif percukaian untuk pemulihan prestasi perniagaan pasca COVID-19 supaya rakyat Malaysia dapat memiliki kenderaan import terpakai yang berkualiti pada harga yang kompetatif," ujar beliau.

 

Statistik Penggunaan AP Terbuka pada tahun 2018 berjumlah 28,363 unit sebelum menurun kepada 25,641 pada tahun 2019.

 

Pada 2020 pula, Penggunaan AP Terbuka terus menyusut kepada 24,353 unit yang merupakan prestasi pengimportan terendah semenjak 10 tahun lalu.

 

"Jumlah perlantikan syarikat-syarikat AP Terbuka telah bertambah dari 100 syarikat kepada hampir 200 syarikat, tetapi prestasi kenderaan yang diimport semakin menurun," tambah beliau. - DagangNews.com