Jualan kenderaan stabil selepas tamat tempoh pengecualian SST | DagangNews Skip to main content

Jualan kenderaan stabil selepas tamat tempoh pengecualian SST

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Sept - Kenanga Research menjangkakan jualan kenderaan terus stabil selepas tamat tempoh pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

 

Firma itu berkata, jangkaan itu dibuat berdasarkan jumlah pembatalan tempahan yang minimum dengan permintaan melebihi bekalan dengan tempahan tertunggak kekal tinggi.

 

"Secara positifnya, jangkaan jualan kenderaan yang mantap selepas tempoh pengecualian SST dengan pembatalan tempahan minimum selepas mengambil kira permintaan melebihi bekalan merangkumi tempahan tertunggak sehingga sembilan bulan.

 

"Selain itu, ia ditambah oleh komitmen kerajaan menyerap SST untuk tempahan sebelum 30 Jun 2022 dan pendaftaran sebelum 31 Mac 2023," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, pelancaran baharu kenderaan berasaskan bateri (BEV) akan meransang pengecualian cukai jualan dan insentif kemudahan EV lain sehingga 31 Disember 2025 dalam menyokong pembangunan industri EV tempatan. 

 

"Sasaran jualan keseluruhan industri (TIV) 2022 kami ialah 600,000 unit, berbanding unjuran Persatuan Automotif Malaysia (MAA) pada 630,000 unit.

 

"Kami percaya sasaran MAA sebagai tidak tepat berdasarkan kepada situasi kekurangan cip dan komponen yang berterusan, meskipun sentimen positif boleh membantu," katanya.

 

Firma itu menjangkakan, pendapatan industri automotif pada suku akan datang kembali normal secara beransur-ansur ke tahap sebelum pandemik berikutan pertumbuhan pendapatan sebanyak 25%.

 

"Terdapat kemerosotan berturutan dalam keputusan kewangan 2QFY22, namun kami tidak melihatnya sesuatu yang membimbangkan.

 

"Keputusan menunjukkan jualan kenderaan tempatan yang kukuh secara keseluruhan, walaupun margin berbeza di kalangan peserta automotif," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'overweight' dengan sasaran TIV 2022 sebanyak 600,000 unit.

 

"Tiga syarikat yang cemerlang dari aspek margin adalah MBM Resources Berhad (MBMR), UMW Toyota Motor dan Bermaz Auto Berhad (BAuto), didorong margin tinggi, pengurangan persaingan dalam pembuatan alat ganti dan keputusan kewangan positif syarikat bersekutu," katanya. - DagangNews.com