Jualan Khas Syawal Madani di Perak sasar RM400,000 menerusi 10 pasar tani  | DagangNews Skip to main content

Jualan Khas Syawal Madani di Perak sasar RM400,000 menerusi 10 pasar tani 

Jualan terus dari ladang menawarkan barangan segar untuk persiapan Aidilfitri termasuk ayam dan daging.
oleh ZAKI SALLEH

IPOH 20 April - Jualan Khas Syawal Madani melibatkan 10 lokasi pasar tani terpilih di negeri ini yang bermula semalam hingga esok dijangka mencatatkan nilai jualan sebanyak RM400,000 selain menawarkan harga berpatutan.

 

Selain RTC Gopeng, lokasi lain ialah di pasar tani kekal Lekir, Kampung Simee, Kuala Kangsar, Kampung Gajah, Perlop, Seri Iskandar, Masjid Tapah, Tanjung Malim dan Medan Gopeng.

 

Antara jualannya seperti pelbagai produk asas tani, makanan dan minuman popular, aneka biskut dan kuih raya serta jualan foodtruck sebagai tarikan pengunjung. 

 

Diselitkan juga aktiviti sampingan iaitu edaran bubur lambuk dan dodol kepada pengunjung.

 

Pengarah FAMA Perak, Noorsham Ramly berkata, program ini dilaksanakan bagi memudahkan pengguna mendapatkan bekalan serta barangan pada musim perayaan. 

 

 

parafrasa
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Perak, Dato' Zolkafly Harun (dua dari kiri) bersama Pemangku Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri (empat dari kanan) semasa merasmikan Jualan Khas Syawal Madani di RTC Gopeng.

 

 

Menurut beliau, pengguna dapat menikmati potongan harga sehingga 15 peratus bagi produk-produk keperluan yang ditawarkan secara terus oleh pengeluar. 

 

"Program ini juga menjadi platform kepada pengusaha sedia ada dan usahawan baru memasarkan produk kepada pengguna. 

 

"Turut diadakan ialah jualan 'Happy Hour' daging RM30 sekilogram, ayam setiap ekor RM10, telur sepapan RM10 dan jualan pek Kombo Madani," ujarnya.

 

 

irsyad
Jualan Khas Syawal Madani memudahkan pengguna mendapatkan barangan untuk menyambut raya pada harga berpatutan.

 

 

Program ini mendapat kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak.

 

Ini merupakan inisiatif kedua yang dilaksanakan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri Perak selepas Jualan Ramadan Madani.

 

Jualan tersebut yang diadakan sebelum dan pada minggu pertama Ramadan melibatkan 12 lokasi telah mencatatkan jualan sebanyak RM1 juta. - DagangNews.com