Jualan lebih lemah daripada jangkaan, Kenanga Research semak turun unjuran untung bersih Kotra Industries sebanyak 16% bagi FY24 | DagangNews Skip to main content

Jualan lebih lemah daripada jangkaan, Kenanga Research semak turun unjuran untung bersih Kotra Industries sebanyak 16% bagi FY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Feb - Kenanga Research menyemak turun unjuran untung bersih Kotra Industries Bhd bagi FY24 sebanyak 16% kesan daripada jualan yang lebih lemah daripada jangkaan.

 

Katanya, untung bersih 1HFY24 kumpulan itu melepasi ramalan tahun penuh mereka pada hanya 43% dan 42% daripada anggaran konsensus.

 

Firma penyelidikan itu berkata, hasil 1HFY24 turun 13% manakala margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) merosot sebanyak 25% dengan bahagian pembuatan dan pemasaran mencatat jualan yang lebih rendah.

 

"Untung bersih 1HFY24 merosot sebanyak 27% disebabkan oleh kadar cukai berkesan yang lebih tinggi dan pada masa sama sentimen pengguna yang lemah juga menjadi penyumbang kepada keadaan itu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih suku kedua berakhir 31 Disember 2023 (2QFY24) kumpulan itu susut kepada RM11.62 juta berbanding RM16.41 juta disebabkan jualan yang lebih rendah dan kos yang lebih tinggi.

 

Kumpulan yang memiliki jenama makanan tambahan Appeton, menyaksikan pendapatan bagi suku tersebut jatuh 7.56% kepada RM57.55 juta daripada RM62.25 juta berikutan jualan yang lebih lemah di dalam dan luar negara.

 

Ditambah dengan perbelanjaan cukai yang lebih tinggi, margin keuntungan bersih kumpulan susut kepada 20.18% daripada 26.36% pada 2QFY23 dan 25.62% pada 1QFY24.

 

Kenanga Research menjangkakan, sentimen pengguna bertambah baik secara beransur-ansur pada tahun ini apabila lebih banyak kejelasan muncul mengenai rasionalisasi subsidi, terutamanya berkaitan RON95.

 

Katanya, setelah dilaksanakan, pengguna secara beransur-ansur akan 'menerima' keputusan itu dan menyambung semula perbelanjaan mengikut kemampuan mereka.

 

Peningkatan beransur-ansur dalam ekonomi domestik dan pasaran pekerjaan selaras dengan pemulihan ekonomi global juga akan membantu.

 

"Pasaran domestik ubat-ubatan di kaunter semakin berkembang juga sepatutnya menjadi petanda baik untuk kumpulan itu," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM5.90 sesaham. - DagangNews.com