Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 12 Mac - Nilai jualan Perdagangan Borong dan Runcit menyaksikan penyusutan 2.7% tahun ke tahun kepada RM111.7 bilion pada Januari 2021.
Kemerosotan itu disebabkan oleh Kenderaan Bermotor yang menguncup 13.8% atau RM1.7 bilion kepada RM10.6 bilion, menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin.
Katanya, perdagangan runcit turut susut sebanyak RM1.2 bilion atau -2.5% untuk mencatatkan nilai RM45.6 bilion.
Perdagangan borong juga menunjukkan trend yang sama dengan penurunan sebanyak RM0.2 bilion atau -0.4% kepada RM55.4 bilion.
Sementara itu, nilai jualan bulan ke bulan menurun 3.3% pada Januari 2021 selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di enam negeri bermula 13 Januari 2021.
"Bagi Kenderaan Bermotor, penurunan dua digit -13.8% adalah disebabkan oleh Jualan Kenderaan Bermotor yang menjunam 17.6% kepada RM5.3 bilion pada bulan ini. Ini diikuti oleh Jualan Komponen & Aksesori Kenderaan Bermotor yang jatuh -9.3% untuk merekodkan RM2.9 bilion.
“Penyelenggaraan & Pembaikan Kenderaan Bermotor juga menyusut -9.5% kepada RM1.5 bilion. Pada tempoh yang sama, Jualan, Penyelenggaraan & Pembaikan Motosikal juga turut merekodkan penurunan dengan catatan -11.1 peratus kepada RM0.9 bilion,” katanya dalam sebuah kenyataan berhubung Perdagangan Borong & Runcit, Januari 2021 yang disiarkan Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini.
Tambah Mohd. Uzir, bagi Perdagangan Runcit, kejatuhan 2.5% adalah disebabkan oleh jualan produk bukan keperluan iaitu Jualan Runcit di Kedai Pengkhususan dengan -7.0%, Jualan Runcit Barangan Isi Rumah, -4.6% dan Jualan Runcit Barangan Kesenian & Rekreasi, -5.1%.
Walau bagaimanapun, jelas beliau, jualan barangan keperluan menunjukkan peningkatan iaitu Jualan Runcit di Kedai Bukan Pengkhususan yang mencatatkan 1.4% kepada RM16.6 bilion tahun ke tahun.
“Ini diikuti oleh Jualan Runcit Makanan, Minuman & Tembakau yang meningkat 6.0% kepada RM2.9 bilion. Jualan Runcit Bukan di Kedai, Gerai atau Pasar turut berkembang 9.0% kepada RM0.4 bilion diikuti oleh Jualan Runcit di Gerai & Pasar yang naik 5.6%kepada RM0.1 bilion," ujar beliau.
Mengulas lanjut mengenai subsektor Perdagangan Borong, Mohd. Uzir berkata, kejatuhan 0.4% tahun ke tahun pada Januari 2021 adalah disebabkan oleh Lain-lain Pengkhususan Jualan Borong yang merosot 4.9%.
Sementara itu, indeks jualan runcit dalam talian yang menggambarkan aktiviti e-dagang turut melonjak dengan merekodkan pertumbuhan 28.7% tahun ke tahun.
Bagi indeks jualan runcit dalam talian pelarasan musim, ia naik 0.5% berbanding bulan sebelum.
Manakala bagi indeks volum, Perdagangan Borong & Runcit mencatatkan kejatuhan -2.9% tahun ke tahun.
Mohd. Uzir berkata, kejatuhan ini disebabkan oleh Kenderaan Bermotor yang menurun 13.1% diikuti oleh Perdagangan Runcit dan Perdagangan Borong masing-masing -3.2% dan -0.1%.
Bagi indeks volum pelarasan musim, ia menurun 2.0% bulan ke bulan. – DagangNews.com