Jualan perdagangan borong, runcit 2018 cecah RM1.3 trilion | DagangNews Skip to main content

Jualan perdagangan borong, runcit 2018 cecah RM1.3 trilion

Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 27 Julai - Sektor perdagangan borong dan runcit negara merekodkan nilai jualan mencecah RM1.3 trilion bagi tahun 2018 dengan peningkatan 8.6% setahun berbanding 2013.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, sebanyak 469,024 pertubuhan beroperasi dalam sektor perdagangan borong dan runcit pada tahun 2018 berbanding 370,725 pertubuhan pada tahun 2013 dengan kadar pertumbuhan tahunan 4.8%.

"Bilangan pekerja pula direkodkan seramai 2,002,838 orang dengan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 3.3%. Gaji dan upah yang dibayar berjumlah RM62.9 bilion berbanding RM39.0 bilion pada tahun 2013.

"Daripada jumlah keseluruhan bilangan pertubuhan yang terlibat dalam sektor berkenaan, PKS (perusahaan kecil dan sederhana) adalah sebanyak 461,975 pertubuhan iaitu 98.5% dengan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 4.7%. Nilai jualan yang dihasilkan PKS adalah sebanyak RM806.9 bilion yang menyumbang 63.7% kepada nilai jualan keseluruhan," jelasnya berdasarkan kenyataan Prestasi Banci Perdagangan Borong dan Runcit 2019 peringkat negeri yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

Banci perdagangan borong dan runcit 2019 peringkat negeri memaparkan statistik terperinci di peringkat negeri hingga ke daerah pentadbiran.

Statistik tersebut merangkumi nilai jualan barangan dan perkhidmatan, kos barangan yang dijual, nilai output kasar, nilai input perantaraan, nilai ditambah, juMlah pekerja, gaji dan upah serta nilai harta tetap.

Selain itu, statistik berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi juga diterbitkan.

Bagi prestasi mengikut negeri, Selangor mencatatkan bilangan pertubuhan tertinggi iaitu 94,857 pertubuhan diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor, Perak dan Sabah.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Johor merekodkan nilai jualan sebanyak RM866.3 bilion yang menyumbang 68.2% kepada nilai jualan keseluruhan.

Ketiga-tiga negeri itu juga mencatatkan bilangan pekerja dan gaji tertinggi melibatkan seramai 1,082,070 orang dengan jumlah gaji RM42.7 bilion.

Tambah beliau lagi, lima negeri iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Sarawak pula mencatatkan bilangan pertubuhan tertinggi iaitu sebanyak 59.2% di samping nilai jualan tertinggi dengan sumbangan 77.1%.

"Prestasi mengikut daerah pula, Petaling mempunyai bilangan pertubuhan paling tinggi dengan 40,018 pertubuhan diikuti oleh Johor Bharu (18,783), Hulu Langat (16,754), Kinta (15,597) dan Klang (15,450).

"Petaling juga turut mencatatkan nilai jualan tertinggi dengan RM230.6 bilion. Bilangan pekerja paling ramai juga dicatatkan di Petaling iaitu seramai 227,850 orang dengan gaji yang dibayar adalah RM10.4 bilion," jelasnya.

Bilangan pertubuhan prestasi PKS tertinggi pula direkodkan di daerah Petaling dan Johor Bahru.

Bagi penggunaan Information and Communication Technology (ICT) yang merujuk kepada penggunaan komputer, internet dan web presence, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatatkan jumlah tertinggi iaitu masing-masing dengan jumlah 99.1%, 96.3% dan 68.9%.

"Daerah Hulu Langar, Ledah dan Sepang merekodkan penggunaan komputer tertinggi sementara penggunaan internet tertinggi pula dicatatkan Sepang, Hulu Selangor dan Hulu Langat.

"Manakala penggunaan web presence tertinggi pula dicatatkan oleh Selangor, Sepang dan Langkawi," katanya. - DagangNews.com