Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 12 Okt. - Nilai jualan Perdagangan Borong dan Runcit terus mencatatkan pertumbuhan positif kepada RM111.4 bilion pada Ogos 2020 dengan pertumbuhan -2.3% berbanding tahun sebelumnya.
Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, nilai jualan tersebut merupakan yang tertinggi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan akibat COVID-19.
"Kenderaan bermotor merekodkan pertumbuhan positif dua bulan berturut-turut untuk merekodkan 1.0% atau peningkatan sebanyak RM0.1 bilion.
"Sebaliknya, Perdagangan Borong dan Perdagangan Runcit masih mencatatkan pertumbuhan negatif iaitu masing-masing -3.9% (-RM2.1 bilion) dan -1.5% (-RM0.7 bilion)," jelasnya dalam laporan Perdagangan Borong dan Runcit bagi Ogos 2020.
Indeks volum Perdagangan Borong dan Runcit menunjukkan tanda pemulihan untuk mencatatkan 130.0 mata dengan pertumbuhan -2.4% berbanding tahun sebelumnya.
Jumlah tersebut merupakan peratus pertumbuhan negatif terendah semenjak Mac 2020.
Kenderaan Bermotor merekodkan pertumbuhan positif iaitu 0.9%.
Bagaimanapun, Perdagangan Borong mencatatkan -3.4% dan Perdagangan Runcit menyusut 2.3% pada tempoh sama.
Indeks volum pelarasan musim pula meningkat 2.4% berbanding bulan sebelumnya.
Perdagangan Borong
Perdagangan Borong menjana jualan sebanyak RM51.9 bilion pada Ogos 2020, penurunan RM2.1 bilion (-3.9%) berbanding bulan Ogos 2019.
Lain-lain Pengkhususan Jualan Borong dan Jual Borong Berdasarkan Kontrak atau Yuran merosot masing-masing 13.5% dan 6.2% berbanding tahun sebelumnya.
Bagi perbandingan antara bulan, jualan bagi subsektor ini meningkat 3.7%.
Indeks volum Perdagangan Borong mencatatkan 127.4 mata, menyusut 3.4% tahun ke tahun.
Pertumbuhan negatif ini direkodkan oleh Lain-lain Pengkhususan Jualan Borong (-12.8%) dan Jual Borong Berdasarkan Kontrak atau Yuran (-5.5%). Indeks volum pelarasan musim pula meningkat 1.1% bulan ke bulan.
Perdagangan Runcit
Jualan Perdagangan Runcit mencatatkan pertumbuhan negatif 1.5 peratus berbanding Ogos 2019.
Antara kumpulan yang menyumbang kepada kejatuhan ini ialah Jualan Runcit di Kedai Khusus yang Menjual Barangan Kesenian & Rekreasi (-9.7%), Jualan Runcit di Kedai Khusus yang Menjual Barangan Lain (-7.2%) dan Jualan Runcit di Kedai Khusus yang Menjual Bahan Api Kenderaan (-5.6%).
Berbanding Julai 2020, jualan bagi subsektor ini menokok 2.3%.
Indeks volum Perdagangan Runcit merekodkan pertumbuhan -2.3% kepada 139.2 mata berbanding Ogos 2019.
Kejatuhan terbesar ditunjukkan oleh Jualan Runcit di Kedai Khusus yang Menjual Barangan Kesenian & Rekreasi (-10.6%), Jualan Runcit di Kedai Khusus yang Menjual Barangan Lain (-7.6%) dan Jualan Runcit di Kedai Khusus yang Menjual Peralatan Lain Isi Rumah (-5.2%).
Bagi indeks volum pelarasan musim, ia berkembang 3.4% berbanding Julai 2020.
Kenderaan Bermotor
Nilai jualan subsektor Kenderaan Bermotor mencatatkan pertumbuhan 1.0% tahun ke tahun.
Peningkatan ini didorong oleh Jualan Kenderaan Bermotor yang mencatatkan pertumbuhan 3.1% dan Jualan, Penyelenggaraan & Pembaikan Motosikal sebanyak 2.4%.
Bagi perbandingan bulanan, jualan subsektor ini turun 0.7%.
Indeks volum Kenderaan Bermotor meningkat 0.9% tahun ke tahun untuk mencapai 112.3 mata.
Kenaikan tertinggi disumbangkan oleh Jualan Kenderaan Bermotor (4.5%) dan Jualan, Penyelenggaraan & Pembaikan Motosikal (2.0%).
Indeks volum pelarasan musim bagi subsektor ini merosot 1.1% bulan ke bulan. - DagangNews.com