Harga minyak sawit mentah diramal terus meningkat untuk baki tahun ini - penganalisis | DagangNews Skip to main content

Harga minyak sawit mentah diramal terus meningkat untuk baki tahun ini - penganalisis

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Nov - Penganalisis mengunjurkan harga minyak sawit mentah (MSM) terus meningkat untuk baki 2024 dan suku pertama 2025 kesan penyusutan pengeluaran dan kekurangan bekalan.

 

Simpanan minyak sawit untuk Oktober 2024 adalah lebih rendah iaitu ekitar 1.89 juta tan, menurut kenyataan yang dikeluarkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

 

Harga MSM melonjak kepada RM5,060.50 setiap tan pada 8 November 2024, meningkat 36% daripada akhir Disember 2023 dan setakat ini, MSM berada pada purata RM4,072 bagi setiap tan, meningkat 5.7% dari tahun ke tahun.

 

“Kami telah menaikkan unjuran harga purata MSM kepada RM4,150 bagi setiap tan untuk 2024 dan RM4,200 untuk satu tan pada 2025, meningkat daripada RM3,900 setiap tan metrik,” kata CIMB Research dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan juga melaraskan unjuran pendapatannya untuk sektor perladangan pada musim keputusan seterusnya bagi mencerminkan harga dan kos yang lebih tinggi berikutan Belanjawan 2025.

 

"Kami mengunjurkan stok minyak sawit turun 2% kepada 1.85 juta tan pada November 2024 kesan pengeluaran yang lebih rendah," katanya.

 

Syarikat penyelidikan itu memilih SD Guthrie Bhd, IOI Corp Bhd, Ta Ann Holdings Bhd dan Hap Seng Plantations Holdings Bhd sebagai pilihan utama untuk sektor perladangan.

 

Pemangkin utama bagi sektor itu termasuk keputusan 3QFY24 yang lebih kukuh daripada jangkaan dan potensi membuka nilai melalui penggabungan dan pengambilalihan serta pengewangan bank tanah, katanya.

 

Sementara itu, UOB Kay Hian Research menjangkakan harga MSM akan didagangkan antara RM4,500 hingga RM5,000 setiap tan untuk baki bulan tahun ini.

 

“Kami menganggap julat harga boleh dikekalkan sekurang-kurangnya sehingga suku pertama 2025, kerana pengeluaran biasanya mula memuncak pada 2QFY25 dan 3QFY25.

 

"Peningkatan dalam pengeluaran ini berkemungkinan mengurangkan tekanan bekalan, yang boleh membawa kepada penyederhanaan harga secara beransur-ansur pada suku berikutnya," katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, terdapat potensi kejutan dalam pengeluaran disebabkan kemungkinan fenomena La Nina pada 4QFY24 yang boleh membawa kepada pengeluaran yang lebih lemah daripada jangkaan, menjadikan harga MSM lebih tinggi.

 

"Potensi permulaan La Nina pada akhir 2024 kekal sebagai risiko cuaca, tetapi tidak dapat dipastikan keadaan sebenar ketika itu, walaupun ia dilihat sebagai kes terpencil," katanya.

 

UOB Kay Hian mengekalkan saranan 'market overweight' dan hanya memberi saranan 'beli' kepada Hap Seng Plantations kerana menyukai syarikat itu untuk pendedahan huluannya, aliran pengeluaran yang menggalakkan dan hasil dividen yang tinggi. - DagangNews.com