Jualan Perodua bagi 2023 dijangka terjejas akibat kenaikan kadar inflasi | DagangNews Skip to main content

Jualan Perodua bagi 2023 dijangka terjejas akibat kenaikan kadar inflasi

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Julai - RHB Research menjangkakan jualan kenderaan UMW Holdings Berhad terutama Perodua akan terjejas pada 2023 didorong kenaikan kadar inflasi, kadar faedah dan peningkatan harga kenderaan selepas ketiadaan pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST). 

 

Firma itu berkata, keadaan itu diburukkan lagi dengan kadar tukaran mata wang asing yang akan menjejaskan sentimen pelabur.

 

Bagaimanapun, selepas pengecualian SST pada 30 Jun 2022, kadar tempahan tertunggak Perodua berada melepasi paras 200,000 unit.

 

"Kami mengandaikan Perodua tidak akan tergesa-gesa untuk memenuhi tempahan itu pada 2H22 kerana berdepan masalah kekurangan komponen kenderaan selain vendor mereka mengalami kekurangan tenaga pekerja asing.

 

"Buat masa sekarang, Perodua mengahasilkan kenderaan pada kapasiti maksimum 28,000 unit sebulan dan ia menunjukkan tempahan tertunggak itu akan diselesaikan dalam tempoh lebih tujuh bulan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, pelbagai faktor akan menjejaskan permintaan untuk kereta pada 2023 termasuk bank akan lebih berhati-hati dalam memberikan pinjam pembelian kenderaan selain kadar faedah semakin meningkat.

 

"Kami berpendapat, pengguna akan lebih sensitif terhadap harga terutama melibatkan kenderaan nasional dan ia akan memberikan impak yang tidak seimbang kepada pasaran.

 

"Kami juga telah mengambil kira potensi penurunan jualan bagi kenderaan lain berbanding kenderaan nasional yang lebih mampu milik," katanya.

 

Firma itu mengekalkan penarafan 'neutral' terhadap UMW pada harga sasaran (TP) lebih rendah RM2.90.

 

"Penarafan itu dibuat berdasarkan kepada risiko gangguan rantaian bekalan yang lebih lama daripada jangkaan dan jualan lebih rendah daripada jangkaan selepas ketiadaan pengecualian SST," katanya. - DagangNews.com