Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 2 April - Proton berjaya menempatkan kedudukan dalam fasa berprestasi tinggi apabila berjaya mencatatkan jumlah jualan bulanan yang terbaik sejak September 2013.
Bagi jualan Mac 2021, jualan Proton meningkat 26.2% kepada 14,989 unit kenderaan merangkumi jualan tempatan dan eksport.
Jumlah berkenaan meningkat berbanding Februari dan pegangan pasaran juga dianggar mencapai 23.5%.
Secara keseluruhannya, Proton berjaya mengekalkan kedudukan kedua dalam jadual kedudukan penjualan.
Bagi tempoh suku pertama tahun ini, syarikat tersebut mencapai jumlah jualan terkumpul sebanyak 32,826 unit dan angka tertinggi dalam bahagian pasaran suku tahunan sejak Mac 2012.
Ketua Pengawai Eksekutif, Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, setelah permulaan yang agak lemah, industri automotif Malaysia akhirnya mencapai kemajuan pada tahun 2021.
"Kami menganggarkan TIV melebihi 63,000 unit, menunjukkan semua jenama akan mencatatkan jumlah terbaik mereka untuk tahun ini.
"Bagi PROTON, bulan Mac adalah bulan penjualan yang sangat baik kerana kami mencapai angka tertinggi kami bagi tempoh 90 bulan tetapi merasakan pencapaian kami berkurangan kerana ia boleh dipertingkatkan sekiranya kami dapat menghasilkan lebih banyak unit.
“Buat masa kini, kami masih memiliki banyak pesanan untuk dipenuhi, Proton akan berusaha untuk meningkatkan pengeluaran dalam beberapa bulan ini, di samping mengekalkan fokus kami dalam penyampaian produk yang berkualiti tinggi. Kami juga sedar bahawa insentif Penjana akan berakhir pada akhir bulan Jun, jadi kami berhasrat untuk memastikan sebanyak mungkin pelanggan dapat menikmati percutian cukai yang diberikan oleh kerajaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Proton terus mencatatkan peningkatan penghantaran untuk dua model SUV Proton pada bulan Mac setelah barisan pengeluaran baru di Tanjung Malim meningkatkan pengeluarannya untuk bulan ini.
Sebanyak 3,513 unit Proton X50 dihantar kepada pelanggan sementara Proton X70 menunjukkan kenaikan dari bulan ke bulan sebanyak 58.4% kepada 2,337 unit.
Jika digabungkan, situasi tersebut menyaksikan Proton mencapai rekod dalaman baru dengan 5,850 unit SUV dihantar, mengalahkan rekod sebelumnya sebanyak 4,820 unit pada bulan lalu.
Bagi Proton Saga pula, model berkenaan kekal sebagai model paling laris syarikat apabila sebanyak 5,589 unit telah dihantar, penjualan untuk sedan segmen-A itu telah meningkat sebanyak 32.5% berbanding Februari.
Sementara Proton Persona, Iriz dan Exora juga mencatatkan angka terbaik untuk tahun ini dengan MPV segmen-C itu sekali lagi menduduki tempat pertama bagi segmennya. - DagangNews.com