NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
[email protected]
KUALA LUMPUR 19 Nov - Promosi Shopee 11.11 Jualan Hebat membuktikan jualan barangan secara dalam talian tidak mencatatkan sebarang penurunan walaupun sektor ekonomi khususnya bidang peruncitan sudah kembali dibuka.
Shopee yang baru sahaja menamatkan promosi 11.11 Jualan Hebat berjaya mencatat peningkatan kunjungansebanyak 5.5 kali ganda dalam dua jam pertama berbanding hari biasa dan menjual lebih 2 bilion barangan, sekaligus memecahkan rekod yang dibuat pada tahun lalu.
Semasa promosi itu berlangsung, barangan kesihatan dan penjagaan diri terus menjadi produk paling laris dengan lebih 13 juta keping pelitup muka berjaya dijual selain kit ujian COVID-19 juga mencecah angka jualan melebihi 30,000 unit.
Peniaga luar talian juga mendapat peningkatan jualan apabila pelanggan menuntut lebih 5 juta baucar Shopee Pay melalui ‘Deals Near Me’ di premis mereka.
Sepanjang 11.11 Jualan Hebat, rakyat Malaysia juga meluangkan lebih banyak masa untuk berhubung dengan para penjual menerusi penstiman secara langsung menerusi Shopee Live.
Selain itu, pelbagai hadiah menarik ditawarkan semasa promosi berkenaan termasuk sebuah unit kondominium bernilai lebih RM500,000 di SkyMeridien Residences @ Sentul East menerusi permainan Tekan dan Menang Kondo selain sebuah BMW 218i Grand Coupe M Sport melalui permainan Putar dan Menang.
“Kami berasa amat gembira melihat impak daripada usaha kami untuk pembeli, perniagaan dan komuniti tempatan.
"Ekonomi digital terus membuka banyak peluang untuk berkembang dan membolehkan lebih ramai mendapat manfaat daripada pertumbuhan ini dengan meningkatkan penggunaan e-dagang bagi membawa perniagaan mereka ke dalam talian," kata Ketua Pegawai Operasi di Shopee, Terence Pang dalam satu kenyataan.-Dagangnews.com