Jualan sektor pembuatan terus mengukuh kepada RM122.9 bilion | DagangNews Skip to main content

Jualan sektor pembuatan terus mengukuh kepada RM122.9 bilion

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 12 Mac - Nilai jualan sektor pembuatan Malaysia terus berkembang pada Januari 2021, sebanyak 4.1% kepada RM122.9 bilion berbanding tahun sebelumnya.

 

Namun, berasaskan bulan ke bulan, nilai jualan turun 1.4%, menurut laporan Perangkaan Pembuatan Bulanan Malaysia Januari 2021 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Mengulas mengenai laporan tersebut, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan tahun ke tahun yang direkodkan pada bulan Januari 2021 dipacu oleh Produk Makanan, Minuman & Tembakau (7.7%), Produk Elektrik & Elektronik (6.4%) dan Produk Kelengkapan Pengangkutan & Pembuatan Lain (5.5%).

 

Mohd. Uzir Mahidin
Mohd. Uzir Mahidin

 

“Jumlah pekerja sektor pembuatan bagi tempoh sama bagaimanapun berkurang 2.4% kepada 2,225,697 orang berbanding 2,280,951 pada Januari 2020,” katanya dalam sebuah kenyataan berhubung laporan itu hari ini. 

 

pembuatan

 

Kandungan laporan tersebut juga menyatakan jumlah gaji dan upah yang dibayar merosot 1.4% atau RM105.6 juta pada Januari 2021 kepada RM7,558.0 juta, berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya. 

 

Pada masa yang sama, nilai jualan per pekerja meningkat 6.7% kepada RM55,213 berbanding tempoh sama pada tahun lalu. 

 

Sementara itu, purata gaji dan upah setiap pekerja adalah sebanyak RM3,396 pada bulan Januari 2021. - DagangNews.com