Jualan ulang tahun ke-9 Lazada rancakkan ekonomi digital | DagangNews Skip to main content

Jualan ulang tahun ke-9 Lazada rancakkan ekonomi digital

Jualan sambutan ulang tahun ke-9 Lazada

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 5 April - Platform eDagang terkemuka negara, Lazada berjaya memecahkan rekod penjualan tahun sebelumnya menerusi jualan sambutan ulang tahun ke-9 pada 27 Mac baru-baru ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia dan Ketua Pegawai Strategi Kumpulan Lazada, Magnus Ekbom berkata, pihaknya terus komited dalam merancakkan ekonomi digital apabila lebih 50% penjual pasaran penyertai ‘one-day sale’ dan mendapat manfaat daripada trend eDagang yang dilihat semakin meningkat dan pulih dari krisis wabak COVID-19. 

 

"Kami mengakhiri jualan ulang tahun ke-9 Lazada dengan penuh gemilang hasil sokongan daripada para pelanggan, rakan jenama dan para penjual yang bersama-sama meraikannya dengan kami.

 

"Lazada akan terus komited untuk menjadi pemangkin dalam mengubah cara hidup pengguna berbelanja, membantu peniaga dalam melakukan perniagaan dan seterusnya meningkatkan lagi ekonomi tempatan.

 

"Hal ini turut mengukuhkan lagi kedudukan kami sebagai platform eDagang yang paling digemari dan dipercayai ramai di Malaysia," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Jualan tersebut turut menarik lebih 80% jenama LazMall tempatan, sementara penjual berprestasi tinggi yang memanfaatkan ‘Sponsored Solutions’, rangkaian alat pemasaran digital Lazada seperti ‘Sponsored Discovery’ memperoleh pulangan pelaburan (ROI) melebihi RM9,500 bagi setiap RM1 yang melabur. 

 

.

 

Selain itu,  lebih 1,000 penjual turut mendapat manfaat melalui kempen gabungan penaja kerana 100% keuntungan jualan yang dihasilkan akan masuk melalui saluran berkenaan.

 

Tambah beliau, siaran ikonik Lazada ‘Super Party’ yang disiarkan selama dua jam telah mencatat lebih daripada dua juta penonton di semua platform.

 

Sementara itu, dua kali ganda purata masa pula dihabiskan untuk bermain LazGames di aplikasi Lazada. 

 

Ujarnya, para pembeli juga turut melakukan undian sebanyak 11 juta kali di LazFeed untuk merebut peluang mendapatkan hadiah kejutan ulang tahun daripada Lazada. 

 

Walaupun kebanyakan pembeli lebih tertumpu dalam kategori kecantikan dan kesihatan, beliau memberitahu, carian kata kunci yang popular adalah Baju Raya.

 

"Ini menunjukkan bahawa persiapan Hari Raya telah bermula dan pembelian secara dalam talian menjadi pilihan pembeli bagi mendapatkan informasi mengenai baju raya terbaru. Selain itu, salah satu item terlaris adalah pelekat dinding hiasan rumah 3D yang jelas menunjukkan bahawa kebanyakan keluarga memilih untuk merapikan sendiri kediaman mereka. 

 

"Hasil kajian turut menunjukkan bahawa pembeli semakin selesa menggunakan pembayaran secara digital apabila dua kali ganda lebih ramai rakyat Malaysia memilih Lazada Wallet sebagai kaedah pembayaran pilihan pada tahun ini.

 

"Ia membuktikan keyakinan pengguna semakin meningkat ketika membeli-belah secara dalam talian," tambah beliau lagi. - DagangNews.com