Jumlah Bumiputera dalam profesion peguam, akauntan masih rendah di bawah 50% - DOSM | DagangNews Skip to main content

Jumlah Bumiputera dalam profesion peguam, akauntan masih rendah di bawah 50% - DOSM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 19 Dis - Jumlah Bumiputera dalam profesion seperti arkitek, peguam dan akauntan mencatatkan penyertaan rendah di bawah 50% pada 2022, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, ia mencatatkan jumlah penyertaan sebanyak 41.2% bagi arkitek, peguam (38.2%) dan akauntan (31.8%).

 

Selain itu katanya, penyertaan Bumiptera dalam profesional terpilih menyumbang 92.7% dan 83.8% daripada jumlah penolong pegawai perubatan dan jururawat pada 2022. 

 

"Sementara itu, Bumiputera menyumbang 60.8% juruukur tanah, 61.5% juruukur bahan, 52.8% doktor gigi dan 52.7% pereka dalaman," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Mohd Uzir berkata, penduduk Bumiputera merangkumi 63.9% (21.3 juta) daripada 33.4 juta penduduk di Malaysia pada 2023. 

 

Katanya, sumbangan penduduk bukan Bumiputera dan bukan warganegara masing-masing adalah 27.2% dan 8.9%. 

 

"Penduduk Bumiputera lelaki dianggarkan seramai 10.8 juta orang, manakala Bumiputera perempuan seramai 10.5 juta orang. Nisbah jantina Bumiputera adalah 102 lelaki berbanding 100 perempuan," katanya.

 

 

dosm

 

 

Daripada segi perangkaan demografi, bilangan kelahiran hidup bagi Bumiputera pada 2022 adalah 344,281. Jangkaan hayat bagi Bumiputera ketika lahir pada 2023 adalah 71.5 tahun bagi lelaki dan 76.3 tahun bagi perempuan. 

 

Sementara itu, kadar kesuburan jumlah bagi seorang wanita Bumiputera pada 2022 adalah 2 (2021: 2.1). Selanjutnya, bilangan kematian bagi Bumiputera yang dicatatkan pada tahun 2022 adalah 130,541 kematian. 

 

Tiga sebab utama kematian Bumiputera yang disahkan secara perubatan pada 2022 adalah Ishaemic heart diseases (12,855 kematian), Pneumonia (10,642 kematian) dan Cerebrovascular diseases (6,218 kematian).

 

Penemuan berkaitan tenaga buruh pada 2022 menunjukkan seramai 9.6 juta tenaga buruh adalah Bumiputera (Lelaki: 5.8 juta; Perempuan: 3.9 juta). Kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) bagi Bumiputera meningkat kepada 67.1% berbanding tahun 2021 (65.8%). 

 

Dari segi jantina, KPTB bagi lelaki dan perempuan Bumiputera masing-masing adalah 80% dan 54.1%. Berdasarkan pencapaian pendidikan, sumbangan tenaga buruh Bumiputera yang berpendidikan peringkat menengah dan ke bawah adalah 62.3%. 

 

Sementara itu, 37.7% tenaga buruh Bumiputera berpendidikan tertiari. Selanjutnya, kadar pengangguran dikalangan Bumiputera adalah 4% (2021: 5%).

 

Daripada segi statistik siswazah pula, bilangan siswazah Bumiputera yang direkodkan sehingga 2022 adalah seramai 3.8 juta orang (Lelaki: 1.7 juta; Perempuan: 2.2 juta). 

 

KPTB siswazah Bumiputera lelaki pada 2022 kekal pada 88.3% berbanding tahun sebelumnya. Sementara itu, KPTB bagi siswazah perempuan meningkat kepada 82.9% (2021: 82.1 %).

 

Bagi pindah milik harta tanah pada 2022, Bumiputera merekodkan sebanyak 121,997 transaksi harta kediaman dengan sumbangan sebanyak 36.8% (RM34.7 bilion) kepada jumlah nilai pindah milik harta kediaman (RM94.3 bilion). 

 

Sementara itu, Bumiputera melakukan sebanyak 3,774 pindah milik harta tanah jenis komersil dengan nilai pindah milik bernilai RM2.1 bilion (2021: RM1.5 bilion).

 

Daripada segi perspektif kebajikan, bilangan Bumiputera yang berdaftar di Institusi Kebajikan Am di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat pada 2022 adalah seramai 2,714 orang (2021: 2,948 orang). 

 

Daripada jumlah tersebut, 1,096 orang di Institusi Kanak-Kanak, 637 orang di Institusi Orang Kurang Upaya dan 981 orang di Institusi Warga Emas dan Orang Papa. - DagangNews.com