Jumlah dagangan Mac melonjak 25.6% kepada RM185.7 bilion | DagangNews Skip to main content

Jumlah dagangan Mac melonjak 25.6% kepada RM185.7 bilion

Jumlah dagangan Mac melonjak 25.6%

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 28 April - Jumlah dagangan Malaysia pada Mac 2021 menyaksikan lonjakan ketara 25.6% mencecah RM185.7 bilion, berbanding bulan yang sama tahun lalu. 

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, eksport kekal pada paras yang tinggi, meningkat 31.0% kepada RM104.9 bilion berbanding Mac 2020.

 

Menurut beliau, ia adalah pertumbuhan tahun ke tahun tertinggi dalam tempoh 44 bulan.

 

"Peningkatan ini didorong oleh eksport domestik dan eksport semula. Eksport domestik berjumlah RM87.0 bilion menyumbang 82.9% kepada jumlah eksport dan meningkat 38.5%.

 

"Sementara itu, eksport semula bernilai RM17.9 bilion, naik 3.7% tahun ke tahun, berbanding Februari 2021, eksport meningkat 19.8% atau RM17.9 bilion. Analisis terma pelarasan musim bulan ke bulan, eksport meningkat 3.2% atau RM3.2 bilion kepada RM102.4 bilion," katanya.

 

Beliau berkata demikian menerusi buletin perangkaan perdagangan luar negeri Malaysia bagi Mac 2021 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

 

.

 

Mengulas berkatan prestasi import pula, beliau memberitahu, import Malaysia pada Mac 2021 berjumlah RM80.8 bilion, mencatatkan pertumbuhan kukuh dua digit 19.2% berbanding bulan yang sama 2020.

 

Berdasarkan bulan ke bulan, import meningkat 15.9% atau RM11.1 bilion, manakala berdasarkan terma pelarasan musim, import meningkat 3.9%.

 

Berdasarkan tahun ke tahun, import mengikut penggunaan akhir merekodkan peningkatan dengan kenaikan bagi barangan perantaraan, barangan modal dan barangan penggunaan.

 

"Jumlah dagangan mencapai RM505.6 bilion atau kenaikan 14.8% pada suku tahun pertama 2021 daripada RM440.4 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lalu, peningkatan tersebut disumbang oleh kenaikan eksport dan import masing-masing RM43.5 bilion atau 18.2% dan RM21.8 bilion atau 10.8%.

 

"Pada tempoh yang sama, eksport domestik meningkat 18.0% kepada RM230.6 bilion daripada RM195.3 bilion dan eksport semula meningkat 19.0% kepada RM51.6 bilion daripada RM43.3 bilion," jelas beliau lagi. - DagangNews.com