Jumlah dagangan Malaysia lepasi paras RM2 trilion buat pertama kali | DagangNews Skip to main content

Jumlah dagangan Malaysia lepasi paras RM2 trilion buat pertama kali

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 28 Dis - Jumlah dagangan Malaysia melepasi paras RM2 trilion buat kali pertama bagi tempoh Januari hingga November 2021, meningkat 24.6% tahun ke tahun (Y-O-Y) kepada RM2.01 trilion. 

 

Kementerian Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, eksport meningkat 25.7% kepada RM1.116 trilion manakala import meningkat sebanyak 23.3% kepada RM894.42 bilion dan lebihan dagangan meningkat sebanyak 36.2% kepada RM221.53 bilion.

 

"Perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan mencatatkan nilai tertinggi bagi tempoh tersebut. 

 

"Sementara itu, perdagangan mencatatkan pertumbuhan dua angka bulan ke-10 berturut-turut sejak Februari 2021 pada November 2021, berkembang 34.9%  Y-O-Y kepada RM205.5 bilion," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Tambah kementerian tersebut, angka itu melebihi paras RM200 bilion buat kali kedua berturut-turut. 

 

Katanya, eksport meningkat sebanyak 32.4% kepada RM112.2 bilion, bulan ke-15 berturut-turut pengembangan  Y-O-Y   sejak September 2020.

 

Sementara itu, negara mencatatkan import lebih tinggi sebanyak 38% kepada RM93.3 bilion dan lebihan dagangan meningkat sebanyak 10.5% kepada RM18.9 bilion .

 

"Peningkatan eksport itu disokong oleh eksport kukuh produk elektrik dan elektronik (E&E), produk petroleum serta minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit.

 

"Eksport ke pasaran utama, terutamanya ASEAN, China, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Jepun, mencatat pertumbuhan dua angka, manakala eksport ke ASEAN dan AS mencatatkan nilai bulanan tertinggi sepanjang masa.

 

"Bagi November 2021, semua sektor utama merekodkan pertumbuhan dua angka  Y-O-Y   didorong oleh eksport yang lebih tinggi bagi semua produk kecuali keluaran getah dan petroleum mentah," katanya.  -DagangNews.com