Jumlah kediaman tidak terjual turun 7% kepada 25,816 unit pada 2023 - NAPIC | DagangNews Skip to main content

Jumlah kediaman tidak terjual turun 7% kepada 25,816 unit pada 2023 - NAPIC

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Mac - Jumlah kediaman yang siap dan tidak terjual terus mencatatkan sebanyak 7% pada 2023 sekali gus mencatatkan prestasi positif berbanding tahun sebelumnya.

 

Menurut Laporan Pasaran Hartanah 2023 Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), bilangan kediaman tidak terjual turun kepada 25,816 unit pada 2023, berbanding 27,746 unit pada 2022.

 

Nilai unit kediaman tidak terjual juga merosot 4% kepada RM17.68 bilion pada 2023, daripada RM18.41 bilion setahun sebelumnya.

 

"Kediaman tidak terjual menunjukkan momentum yang menggalakkan, kerana jumlahnya terus menurun berbanding 2022," kata NAPIC dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Pada 2022, bilangan unit kediaman tidak terjual merosot 24.7% tahun ke tahun, berbanding 36,863 unit pada 2021.

 

Pada tahun lalu, kediaman tidak terjual didahului oleh unit berharga RM300,000 ke bawah pada 29.4%, diikuti rapat oleh RM500,001 hingga RM1 juta (29.1%), kemudian RM300,001 hingga RM500,000 (25.3%), dan RM1 juta (16.2%) ke atas.

 

Mengikut negeri, Perak mengatasi Johor apabila bilangan unit kediaman tidak terjual di negeri itu meningkat secara membimbangkan sebanyak 98.9% kepada 4,598 unit pada 2023, berbanding 2,312 unit setahun lalu, manakala Johor susut 19.6% kepada 4,228 unit pada 2023 berbanding 5,258 unit pada tahun sebelumnya.

 

Negeri-negeri lain yang dianggap mempunyai bilangan unit kediaman tidak terjual yang tinggi ialah Kuala Lumpur dengan 3,535 unit dan Selangor dengan 3,405 unit.

 

Jumlah itu meningkat 3.1% di Kuala Lumpur daripada 3,429 unit pada 2022, manakala di Selangor, terdapat penurunan sebanyak 7.9% daripada 3,698 unit pada 2022.

 

Bagi unit kediaman tidak lengkap yang belum terjual, terdiri daripada kediaman dalam pembinaan dan belum memulakan pembinaan, sebanyak 59,058 unit telah direkodkan pada 2023.

 

Terdapat 51,132 unit tidak terjual masih dalam pembinaan pada 2023, dengan 45.4% atau 23,231 unit adalah yang berharga RM300,000 ke bawah atau berada dalam julat rumah mampu milik.

 

Sementara itu, 7,926 unit lagi belum terjual masih belum dimulakan pembinaan begitu juga dengan unit berharga RM300,000 ke bawah pada 38.3% atau 3,039 unit.

 

Pada 2023, pelancaran baharu dalam subsektor kediaman berjumlah 56,526 unit, 4.4% lebih tinggi daripada 54,118 unit yang dicatatkan pada 2022.

 

Daripada jumlah itu, 36,793 unit adalah hartanah bertanah, manakala 19,733 lagi adalah unit bertingkat tinggi. - DagangNews.com