Jumlah penganggur catat penurunan kepada 567,800 orang pada Disember 2023 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Jumlah penganggur catat penurunan kepada 567,800 orang pada Disember 2023 - DOSM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 9 Feb - Bilangan penganggur terus menurun kepada 567,800 orang pada Disember 2023, dengan kadar pengangguran 3.3%, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, trend guna tenaga yang positif dilihat pada bulan terakhir tahun 2023 mencerminkan asas ekonomi negara yang stabil, didorong oleh pertumbuhan berterusan dalam aktiviti ekonomi dan sosial.

 

Justeru katanya, kedudukan tenaga buruh terus berkembang sepanjang bulan tersebut, seperti yang ditunjukkan oleh trend yang positif dalam penduduk bekerja dan serentak dengan penurunan dalam bilangan penganggur. 

 

"Oleh itu, bilangan tenaga buruh kekal meningkat pada Disember 2023, dengan pertambahan sebanyak 0.1% bulan ke bulan kepada 17.03 juta orang, merekodkan kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) yang lebih tinggi iaitu pada 70.2%," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Mohd Uzir berkata, bilangan penduduk bekerja terus berada pada trend positif, dengan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.2% merekodkan 16.46 juta orang berbanding bulan sebelumnya. 

 

Sementara itu katanya, bilangan penganggur terus menurun, dengan penurunan sebanyak 0.2% mencatatkan 567,800 orang, yang mana kadar pengangguran pada bulan Disember 2023 kekal pada 3.3% seperti pada bulan sebelumnya.

 

Mengulas lanjut mengenai situasi guna tenaga, beliau berkata, jumlah penduduk bekerja pada Disember 2023 terutamanya adalah terdiri daripada kategori pekerja, iaitu sebanyak 75.2%. 

 

 

buruh

 

 

"Kategori ini meningkat sebanyak 0.1% kepada 12.38 juta orang. Begitu juga, trend peningkatan turut dapat dilihat dalam kategori bekerja sendiri, yang meningkat sebanyak 0.3% kepada 3 juta orang," katanya.

 

Dari segi sektor ekonomi katanya, sektor perkhidmatan terus mencatatkan pertambahan dalam bilangan penduduk bekerja, terutamanya dalam aktiviti maklumat dan komunikasi, perkhidmatan makanan dan minuman serta pengangkutan dan penyimpanan. 

 

Katanya, trend yang sama juga dilihat dalam bilangan penduduk bekerja sektor bagi pembuatan, pembinaan serta perlombongan dan pengkuarian pada Disember 2023. Sementara itu, bilangan penduduk bekerja dalam sektor pertanian terus menurun pada bulan tersebut.

 

Menurut Mohd Uzir, 79.9% daripada jumlah penganggur adalah penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan, yang mana kategori itu berkurang sebanyak 0.2% kepada 453,600 orang.

 

Beliau berkata, dalam kalangan penganggur aktif, mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan merangkumi 61.8%, manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun adalah sebanyak 6.4%. 

 

"Begitu juga, mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia atau penganggur tidak aktif, turun sebanyak 0.4% kepada 114,200 orang. Pada Disember 2023, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun kekal pada 10.6%, dengan 307,200 penganggur belia. 

 

"Manakala, kadar pengangguran dalam kalangan belia berumur 15 hingga 30 tahun turun sebanyak 0.1 mata peratus kepada 6.4%, mencatatkan 432,100 penganggur belia. Bagi kumpulan tidak aktif, bilangan luar tenaga buruh adalah berjumlah 7.23 juta orang, turun sebanyak 0.02% pada Disember 2023. 

 

"Sebab utama luar tenaga buruh adalah berikutan kerja rumah/tanggungjawab keluarga dengan 42.6%, diikuti oleh bersekolah/latihan (41.2%)," katanya.

 

Bagi prestasi keseluruhan pada suku keempat 2023, Mohd Uzir berkata, pada suku tahun tersebut, bilangan tenaga buruh meningkat sebanyak 0.5%, mencatatkan 16.91 juta orang.

 

Oleh itu katanya, KPTB kekal tidak berubah iaitu pada 70.1% berbanding suku tahun sebelumnya. 

 

Pada masa yang sama katanya, bilangan penduduk bekerja naik sebanyak 0.6%, mencecah seramai 16.35 juta orang pada suku tersebut. 

 

"Manakala, bilangan penganggur berkurang sebanyak 1.4% kepada 565,000. Kadar pengangguran pada suku keempat 2023 merekodkan penurunan sebanyak 0.1 mata peratus kepada 3.3%," katanya.

 

Sementara itu, Mohd Uzir berkata, bilangan penduduk bekerja kurang daripada 30 jam seminggu meningkat sebanyak 0.5% kepada 286,100 orang pada suku ini. 

 

Beliau berkata, bilangan penduduk bekerja kurang daripada 30 jam seminggu serta mampu dan sanggup menerima tambahan jam bekerja atau guna tenaga tidak penuh berkaitan masa turun sebanyak 3.9% kepada 181,600 orang, mencatatkan kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan masa sebanyak 1.1%. 

 

Manakala, guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran, yang meliputi mereka yang berpendidikan tertiari namun bekerja dalam kategori pekerjaan separuh mahir dan berkemahiran rendah, menunjukkan peningkatan sebanyak 0.7% kepada 1.94 juta orang, mencatatkan kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran sebanyak 37.4%.

 

Dari segi kadar pengangguran dan KPTB mengikut negeri katanya, Wilayah Persekutuan Putrajaya dilaporkan dengan kadar pengangguran terendah iaitu pada 1.5% pada suku keempat 2023 berbanding semua negeri, diikuti oleh Perlis (2%) dan Pulau Pinang (2%). 

 

Sementara itu, 10 negeri mencatatkan peningkatan dalam KPTB, menunjukkan lebih banyak penyertaan buruh dalam pasaran. Selangor mencatatkan KPTB tertinggi iaitu pada 76.2%, diikuti oleh Putrajaya (74.4%) danKuala Lumpur (73.7%).

 

Mengulas mengenai prestasi keseluruhan 2023, Mohd Uzir berkata, berdasarkan data purata bulanan, KPTB pada tahun tersebut meningkat sebanyak 0.7 mata peratus kepada 70% berbanding 69.3% pada 2022. 

 

Sementara itu katanya, kadar pengangguran turun sebanyak 0.5 mata peratus kepada 3.4% pada 2023, berbanding 3.9% yang dicatatkan pada tahun sebelumnya. - DagangNews.com