Jumlah pengarah wanita dalam PLC meningkat | DagangNews Skip to main content

Jumlah pengarah wanita dalam PLC meningkat

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Syarikat senaraian awam (PLC) secara puratanya mempunyai 17% pengarah wanita sebagai ahli lembaga pengarah mereka pada tahun lalu, meningkat daripada 15 peratus yang dicatatkan pada 2019.

 

Perangkaan itu diperoleh daripada Kumpulan Pemantau Pemegang Saham Minoriti (MSWG) dalam penilaian terkini Tadbir Urus Korporat (CG) 2020.

 

Penilaian berkenaan tidak termasuk syarikat yang tersenarai di Pasaran LEAP, PN17 dan GN3, menggunakan Kad Skor CG ASEAN. Secara keseluruhan, 851 PLC dinilai pada tahun lalu.

 

Walaupun terdapat peningkatan pengarah wanita, 220 PLC yang dinilai tidak mempunyai wakil ahli lembaga pengarah wanita, kata MSWG dalam kad skor penilaian yang dikeluarkan.

 

Ia juga berkata, 370 PLC yang dinilai mempunyai sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita dan 142 mempunyai sekurang-kurangnya 30 peratus wanita dalam lembaga pengarah mereka.

 

Laporan itu turut mendedahkan jumlah PLC yang membayar dividen merosot kepada 445 tahun lalu daripada 460 pada 2019.

 

Sebagai perbandingan, terdapat 499 PLC yang membayar dividen dalam penilaian 2018.

 

"Dengan mengambil kira pandemik COVID-19 yang berpanjangan, angka ini dijangka terus berkurangan pada tahun ini kerana PLC sama ada terjejas teruk oleh pandemik itu atau lebih bersikap berhemat dalam pengagihan keuntungan kepada pemegang saham," katanya, lapor Bernama.

 

Jumlah PLC yang mengguna pakai Pelaporan Bersepadu meningkat kepada 33 pada 2020 berbanding 22 pada 2019.

 

Pelaporan bersepadu adalah pendekatan yang meningkatkan cara perniagaan berfikir, merancang dan melaporkan kepada pihak berkepentingan mereka mengenai bagaimana nilai diciptakan dalam lingkungan pertubuhan masing-masing.

 

MSWG berkata, ia berharap dapat melihat lebih banyak PLC menggunakan Laporan Bersepadu dalam penilaian masa depan.

 

Dalam penilaian 2020, sejumlah 274 PLC yang menjalankan mesyuarat agung tahunan (AGM) mereka secara maya kerana pandemik COVID-19.

 

Jumlah PLC yang menetapkan dasar had jangka masa untuk pengarah bebas meningkat kepada 80 pada 2020 daripada 52 pada 2019, katanya.

 

MSWG berkata, walaupun pandemik COVID-19 global yang melanda menjejaskan banyak syarikat tempatan, ia gembira melihat peningkatan berterusan dalam keseluruhan skor PLC Malaysia.

 

Skor purata untuk semua PLC meningkat kepada 79.28 mata pada 2020 daripada 74.84 mata pada 2019.

 

Pada masa yang sama, skor purata untuk 100 PLC teratas dan 100 PLC terbawah (berdasarkan ranking) juga masing-masing meningkat kepada 101.73 mata pada 2020 daripada 98.40 mata pada 2019 dan kepada 63.17 mata pada 2020 daripada 58.75 mata pada 2019.

 

Antaranya, anugerah kecemerlangan terbaik untuk penzahiran CG diberikan kepada Petronas Dagangan Bhd, diikuti oleh Petronas Chemical Group Bhd, Malayan Banking Bhd, Petronas Gas Bhd, CIMB Group Holdings Bhd. - DagangNews.com