KUALA LUMPUR 26 Julai - Jumlah penumpang AirAsia X Berhad telah melonjak 70 kali ganda kepada 621,984 penumpang dalam suku kedua 2023 berbanding 8,866 penumpang dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Dari segi suku tahunan pula, jumlah penumpang dibawa oleh AirAsia meningkat 23% berbanding suku pertama 2023, melepasi sedikit peningkatan 21% dalam kapasiti tempat duduk tersedia bagi setiap kilometer (ASK) untuk tempoh yang sama.
Dalam satu kenyataan media hari ini, syarikat itu berkata kapasiti tempat duduk melonjak lebih 26 kali ganda kepada 818,422 buah pada suku dalam tinjauan, berbanding 30,537 buah tahun lalu, didorong oleh pesawat tambahan untuk beroperasi dan rangkaian penerbangannya dipertingkatkan.
“Syarikat telah menunjukkan peningkatan operasi yang ketara merentasi semua metrik utama lain dengan mencapai faktor muatan penumpang sebanyak 76%, meningkat 47 mata peratusan berbanding 29% dalam suku sama berakhir 30 Jun 2022.
“Sepanjang 12 bulan lalu, operasi syarikat kembali normal, merekodkan pertumbuhan memberangsangkan 25 kali ganda lebih tinggi dalam kapasiti ASK,” katanya.
Bagi suku dalam tinjauan, AirAsia X telah melancarkan penerbangan ke Bangkok, Beijing dan Gold Coast, selain menambah penerbangan harian (tujuh kali seminggu) ke Sydney, antara Sydney dan Auckland, ke Melbourne serta Osaka, untuk memenuhi peningkatan permintaan pengguna.
Di seluruh rangkaiannya, AirAsia X berkata ia terus menyaksikan prestasi cemerlang faktor muatan penumpang lebih 85% untuk dua laluan terasnya, iaitu Tokyo dan Taipei.
“Dari segi syarikat bersekutu, AirAsia X Thailand membawa sejumlah 311,337 penumpang, peningkatan lebih 28 kali ganda, manakala kapasiti ASK meningkat sebanyak 44 kali ganda.
“Pada April 2023, AirAsia X Thailand melancarkan penerbangan ke Shanghai dan menambah penerbangan ke Tokyo kepada 14 kali seminggu kerana permintaan perjalanan tambang rendah jarak sederhana terus berkembang,” katanya.
Menurut syarikat itu, saiz armadanya setakat akhir Jun 2023 terdiri daripada 17 pesawat A330, dengan 11 pesawat kini aktif dan beroperasi, manakala saiz armada AirAsia X Thailand kekal pada lapan pesawat A330, dengan lima pesawat aktif dan beroperasi. - DagangNews.com