KUALA LUMPUR 4 Feb - Jumlah perdagangan Malaysia mencatatkan aliran menaik dengan meningkat 5.5% pada Disember 2021 berbanding bulan sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, nilai eksport meningkat 10.4% kepada RM123.8 bilion berbanding November 2021, disumbangkan oleh kenaikan eksport alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+22.4%), minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran (+13.2%) serta pelbagai barang keluaran kilang (+7.8%).
Selain itu, katanya, nilai import menyusut 0.4% bagi bulan ke bulan pada Disember 2021 dengan nilai sebanyak RM92.9 bilion.
"Ia disumbangkan oleh penyusutan import minyak galian (-25.9%), minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran (-20.7%) dan bahan mentah tidak boleh dimakan (-2.4%) manakala nilai perdagangan pula meningkat 63.6% bulan ke bulan dengan nilai RM31 bilion,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada bulan itu juga, indeks nilai seunit eksport meningkat 0.2% berbanding bulan sebelumnya, didorong oleh kenaikan indeks minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran (+3.4%), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+0.8%) dan bahan kimia (+0.8%).
Indeks volum eksport turut meningkat 10.1% pada bulan sama yang disumbangkan oleh kenaikan indeks alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+21.5%), bahan kimia (+9.3%) dan pelbagai barang keluaran kilang (+7.7%).
Mohd. Uzir berkata, indeks volum eksport pelarasan bermusim meningkat sebanyak 6% kepada 172.0 mata daripada 162.2 mata.
Katanya, berdasarkan perbandingan tahunan, kedua-dua indeks nilai seunit dan volum eksport masing-masing meningkat 15.8% dan 11.6%.
"Indeks nilai seunit import turut meningkat 0.2% pada Disember 2021 berbanding November 2021, disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran (+7%), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+0.5%)," katanya.
Dalam pada itu, indeks volum import susut 0.6% pada Disember 2021 berbanding bulan sebelumnya berikutan kejatuhan indeks minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran (-25.9%), minyak galian (-23.9%) dan bahan mentah tidak boleh dimakan (-2.2%).
Bagi indeks volum import pelarasan bermusim pada Disember 2021 pula turun 1% daripada 168.7 mata kepada 166.8 mata.
"Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan kedua-dua indeks nilai seunit dan volum import masing-masing berkembang 8.4% dan 14.1%,” katanya.
Selain itu, menurut beliau, terma perdagangan Malaysia mencatatkan pertumbuhan sebanyak 0.04% bagi bulan ke bulan kepada 107.1 mata pada Disember 2021.
“Prestasi terma perdagangan Malaysia kekal positif 6.9% daripada 100.2 mata pada Disember lalu,” katanya. - DagangNews.com