Jumlah perdagangan Malaysia terus susut bagi bulan kelapan berturut-turut kepada RM239.5 bilion pada Oktober 2023 – DOSM | DagangNews Skip to main content

Jumlah perdagangan Malaysia terus susut bagi bulan kelapan berturut-turut kepada RM239.5 bilion pada Oktober 2023 – DOSM

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 20 Nov - Jumlah perdagangan Malaysia menyusut 2.4% kepada RM239.5 bilion pada Oktober 2023 disumbangkan oleh penurunan eksport 4.4% kepada RM126.2 bilion dan import 0.2% kepada RM113.3 bilion, tahun ke tahun, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Perdagangan pada Oktober 2023 meneruskan aliran menurun untuk bulan kelapan berturut-turut sejak Mac 2023 di sebalik permintaan global yang perlahan dan harga komoditi lebih rendah, mencerminkan cabaran berterusan dihadapi oleh sektor luaran Malaysia didorong faktor ekonomi global.

 

Sementara itu, imbangan perdagangan kekal dalam lebihan dengan nilai RM12.9 bilion, menyusut 30.3% pada Oktober 2023.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata prestasi eksport Malaysia mencatatkan penurunan pada Oktober 2023 sejajar dengan penurunan eksport semula dan eksport domestik.

 

Beliau berkata eksport semula berjumlah RM29.8 bilion, menyusut 2.2% berbanding Oktober 2022, sementara eksport domestik bernilai RM96.4 bilion, yang menyumbang 76.4% kepada jumlah eksport, turun 5%.

 

“Import pada Oktober 2023 bernilai RM113.3 bilion, turun 0.2% berbanding bulan yang sama tahun lepas. Lebihan dagangan menguncup 30.3% kepada RM12.9 bilion, merupakan lebihan dagangan bulan ke-42 berturut-turut sejak Mei 2020,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

 

Infografik Perangkaan Perdagangan Luar Negeri, Oktober 202.pdf
Infografik Perangkaan Perdagangan Luar Negeri bagi Oktober 2023

 

 

Berbanding September 2023, Mohd Uzir berkata prestasi eksport, import dan jumlah perdagangan mencatatkan peningkatan masing-masing 1.5%, 13.4% dan 6.8%, manakala imbangan dagangan mencatatkan penurunan 47.2%.

 

Meninjau dari sudut kumpulan barangan, beliau berkata 106 daripada 258 kumpulan barangan eksport dan 103 daripada 258 kumpulan barangan import menunjukkan penurunan berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

 

Jelas beliau, eksport yang lebih perlahan adalah disebabkan oleh penurunan terutamanya ke Jepun (RM2 bilion) diikuti oleh Singapura (RM1.6 bilion), China (RM1.3 bilion), Thailand (RM1.3 bilion), Togo (RM1.2 bilion), Bangladesh (RM880.1 juta) dan Indonesia (RM501.4 juta).

 

“Sementara itu, pengurangan import disumbangkan terutamanya dari Taiwan (RM3.4 bilion), diikuti oleh Amerika Syarikat (RM2.4 bilion), Arab Saudi (RM1.7 bilion), Jepun (RM1.1 bilion), Australia (RM962.2 juta) dan Kuwait (RM567.4 juta),” katanya.

 

Oleh itu, jumlah perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan juga menunjukkan arah aliran menurun bagi tempoh Januari hingga Oktober 2023.

 

Jumlah perdagangan menurun 8%, daripada RM2.4 trilion kepada RM2.2 trilion, sejajar dengan penurunan dalam eksport (8%) serta import (8%), di samping penyusutan lebihan dagangan sebanyak 7.9% kepada RM190 bilion.  - DagangNews.com