Jumlah pinjaman pada Jun 2024 catat peningkatan sebanyak 6.4% - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Jumlah pinjaman pada Jun 2024 catat peningkatan sebanyak 6.4% - RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Jumlah pinjaman terus mencatatkan perkembangan positif pada Jun 2024 dengan peningkatan sebanyak 6.4% dari tahun ke tahun.

 

RHB Investment berkata, perkembangan itu didorong peningkatan pinjaman isi rumah sebanyak 6%, kewangan (19%) dan segmen perdagangan borong serta runcit pada kadar 11%.

 

"Bagaimanapun, pinjaman kepada sektor utiliti menyaksikan penurunan 15%, tetapi secara keseluruhannya, pertumbuhan pinjaman perniagaan meningkat kepada 6.4% selepas permulaan yang agak perlahan dan kini berkembang setanding aliran sistem.

 

"Sehingga kini, pinjaman mencatatkan perkembangan 5% mengikuti ramalan antara 5% hingga 5.5% pada 2024," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, sehingga kini, permohonan pinjaman meningkat 4% dari tahun ke tahun dengan permohonan daripada perniagaan berkembang lebih pantas sebanyak4% berbanding 3% daripada segmen isi rumah.

 

Katanya, kelulusan pinjaman juga menunjukkan trend yang sama, dengan kelulusan pinjaman perniagaan meningkat 4% manakala kelulusan isi rumah meningkat sebanyak 2% dalam tempoh yang sama.

 

"Ia memberikan wajaran lebih kepada jangkaan pertumbuhan pinjaman kami yang berpotensi menyederhana pada separuh kedua tahun ini, kerana isi rumah masih membentuk sebahagian besar sistem perbankan (59%)," katanya.

 

RHB Investment berkata, purata tebaran faedah pada suku kedua tahun ini kelihatan mendatar, mereka berpendapat margin faedah bersih (NIM) sektor boleh menjadi lebih baik pada musim pelaporan yang akan datang.

 

Katanya, persaingan untuk kadar pinjaman adalah sengit, tetapi bank bersungguh-sungguh mengurangkan kadar deposit bagi memberikan sedikit sokongan kepada NIM dan keuntungan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pinjaman terjejas kasar (GIL) susut 1% dari tahun ke tahun dengan peningkatan dilihat dalam sektor pertanian dan pembuatan.

 

"GIL isi rumah juga susut 3%, mengakibatkan nisbah GIL susut kepada 1.6%, daripada 1.71% pada tahun sebelumnya manakala liputn kerugian pinjaman (LLC) bertambah baik kepada 91.7%," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'neutral' untuk sektor itu dengan CIMB Group Holdings Bhd,  AMMB Holdings Bhd, Hong Leong Bank Bhd, Alliance Bank Malaysia Bhd dan Public Bank Bhd sebagai pilihan utama. - DagangNews.com