Jumlah pinjaman pembelian hartanah melonjak 45.3% kepada RM18.97 bilion pada Jun 2022 | DagangNews Skip to main content

Jumlah pinjaman pembelian hartanah melonjak 45.3% kepada RM18.97 bilion pada Jun 2022

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Jumlah pinjaman yang diluluskan untuk pembelian hartanah meningkat sebanyak 45.3% kepada RM18.97 bilion pada Jun 2022 dan ia selaras dengan lonjakan permohonan.

 

MIDF Research berkata, jumlah terkumpul pinjaman diluluskan sebanyak RM93.9 bilion dalam IHCY22.

 

"Jumlah kelulusan itu menunjukkan prospek jualan hartanah yang lebih baik pada masa akan datang.

 

"Bagaimanapun, peratusan jumlah pinjaman yang diluluskan berbanding jumlah permohonan pinjaman untuk pembelian hartanah meningkat kepada 40.8% pada Jun 2022 daripada 39% pada bulan Mei 2022," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Berdasarkan data Bank Negara Malaysia (BNM), firma itu berkata, jumlah permohonan pinjaman untuk pembelian hartanah melonjak sebanyak 35.4% kepada RM46.5 bilion pada Jun 2022.

 

Katanya, pertumbuhan permohonan pinjaman hartanah kembali positif pada Jun 2022 selepas mencatatkan penurunan pada April dan Mei 2022.

 

"Kami menjangkakan kecairan yang tinggi daripada pengeluaran wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada April 2022 meningkatkan minat orang ramai bagi membeli hartanah," katanya.

 

Firma itu berkata, peningkatan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25bps kepada 2.25% pada 6 Julai 2022 memberi impak negatif kepada sektor itu kerana menyebabkan kenaikan bayaran pinjaman bagi pembelian hartanah selain mengurangkan kemampuan pembeli.

 

Firma itu menjangkakan berlakunya kenaikan bayaran pinjaman untuk pinjaman sebanyak RM500,000 akan meningkat sebanyak 3% bagi setiap kenaikan 25bps OPR.

 

"Bagaimanapun insentif kerajaan menerusi i-MILIKI menawarkan pengecualian duti stamp 100% untuk pembelian rumah di bawah RM500,000," katanya.

 

Firma itu kekal 'neutral' terhadap sektor hartanah dan menjangkakan akan berlaku kenaikan faedah pada masa akan datang. - DagangNews.com