Jumlah siswazah Malaysia meningkat 5.1% kepada 5.29 juta orang pada 2022, kadar pengangguran susut kepada 3.7% – DOSM | DagangNews Skip to main content

Jumlah siswazah Malaysia meningkat 5.1% kepada 5.29 juta orang pada 2022, kadar pengangguran susut kepada 3.7% – DOSM

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 20 Nov - Jumlah siswazah di Malaysia meningkat 5.1% kepada 5.29 juta orang pada 2022 didorong persekitaran ekonomi yang positif, manakala kadar pengangguran siswazah mengalami penurunan kepada 3.7%, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata ekonomi Malaysia pada 2022 telah memperoleh momentum ke arah pemulihan secara beransur-ansur dan seterusnya mendorong kedudukan pasaran buruh yang lebih baik sepanjang tahun berbanding 2021.

 

Sejajar dengan itu, katanya, bilangan siswazah bekerja meningkat 6% kepada 4.87 juta orang (2021: 4.59 juta orang), di mana sekitar dua pertiga (65.6%) daripada siswazah bekerja adalah dalam kategori pekerjaan mahir, menyumbang seramai 3.19 juta orang.

 

Walaupun siswazah dalam guna tenaga tidak penuh meningkat perlahan pada 2022, Mohd Uzir berkata cabaran struktur pasaran buruh masih kekal, ditunjukkan oleh peningkatan berterusan guna tenaga tidak penuh.

 

 

dosm

 

 

“Bilangan siswazah dalam guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran naik 7.9% (123,100 orang) pada 2022 kepada 1.68 juta orang (2021: 14.4%; 1.55 juta orang) disebabkan oleh golongan ini bekerja dalam jawatan yang tidak sepadan dengan kelayakan dan kemahiran mereka,” ujar beliau dalam satu kenyataan media hari ini mengulas Statistik Siswazah 2022.

 

Mohd Uzir berkata, jika diterjemah secara mudah, daripada 100 siswazah bekerja pada 2022, lebih 30 orang bekerja dalam pekerjaan separuh mahir dan berkemahiran rendah.

 

“Namun, guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran bukanlah isu terpencil yang hanya dihadapi oleh Malaysia. Malah, sekitar satu pertiga daripada guna tenaga di negara maju seperti Australia, Amerika Syarikat dan United Kingdom berada dalam guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran dalam tempoh 2019 hingga 2022,” tambahnya.

 

Dari segi taraf pekerjaan bagi siswazah bekerja, bilangan dalam kategori pekerja yang merangkumi 89.7% menunjukkan peningkatan walaupun pada kadar yang lebih perlahan sebanyak 5.4% (222,200  orang) berbanding tahun sebelumnya (2021: 9.2%).

 

 

dosm

 

 

Sebaliknya, kategori majikan yang meliputi 4.7% telah mencatatkan kenaikan sebanyak 14.3% (2021: 3.1%), manakala bilangan bagi kategori bekerja sendiri yang terdiri daripada 4.6% siswazah bekerja sendiri terus merekodkan peningkatan sebanyak 14.7% pada 2022.

 

Mengikut sektor ekonomi, majoriti siswazah bekerja dalam sektor perkhidmatan (76.7%), diikuti 14.4% dalam sektor pembuatan dan 5.7% di sektor pembinaan, sementara sektor pertanian serta perlombongan dan pengkuarian masing-masing menyumbang 2.2% dan 0.9%.

 

“Melihat ke hadapan pada 2023, Malaysia meramalkan tempoh pertumbuhan ekonomi yang sederhana, siswazah akan terus memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi.

 

“Walaupun dalam keadaan ketidaktentuan global, pasaran buruh diunjur kekal positif dan stabil, disokong oleh inisiatif kerajaan yang bertujuan untuk meningkatkan landskap ekonomi keseluruhan,” kata Mohd Uzir.  - DagangNews.com