Jumlah TIV diunjur menguncup 8% kepada 710,000 unit pada 2024, Kenanga Research turunkan penarafan sektor automotif kepada 'neutral' | DagangNews Skip to main content

Jumlah TIV diunjur menguncup 8% kepada 710,000 unit pada 2024, Kenanga Research turunkan penarafan sektor automotif kepada 'neutral'

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Dis - Kenanga Research menyemak turun penarafan sektor automotif kepada 'neutral' berbanding 'outperform' dan mengunjurkan jumlah jualan keseluruhan industri kenderaan (TIV) menguncup sebanyak 8% kepada 710,000 unit pada 2024.

 

Katanya, unjuran itu disebabkan rasionalisasi subsidi bahan api dan ia dilihat menjejaskan permintaan untuk model pasaran pertengahan.

 

Firma penyelidikan itu bagaimanapun kekal optimis terhadap jualan kenderaan dalam segmen mampu milik dengan pembeli daripada kumpulan B40 yang tidak terkesan dengan rasionalisasi subsidi selain berpotensi mendapat manfaat daripada pengenalan model gaji progresif.

 

“Pilihan utama sektor kami untuk sektor itu ialah MBM Resources Berhad (outperform; TP: RM5.50), yang merupakan proksi yang baik kepada jenama kenderaan Perodua yang mampu milik dan jimat bahan api.

 

"Ia juga menawarkan hasil dividen yang menarik kira-kira 11%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Kenanga berkata, dalam ruang jenama tempatan, kedua-dua model Perodua dan Proton telah terjual dengan baik, dengan harga yang kompetitif berbanding jenama bukan nasional sambil menawarkan ciri teknologi dan keselamatan yang dipertingkatkan.

 

“Perodua berada di hadapan dalam perlumbaan model baharu (dari segi volum) dengan pelancaran Perodua Axia serba baharu (ciri yang dipertingkatkan seperti meter kelajuan digital dan bantuan brek kecemasan) diikuti dua lagi model facelift baharu tahun ini, dan satu model baharu pada awal 2024 (Perodua D66B, B-segmen).

 

“Sebaliknya, Proton baru-baru ini melancarkan kenderaan elektrik hibrid ringan (MHEV) pertama untuk jenama tempatan, Proton X90 serba baharu, dan sedan pertamanya di bawah perkongsian Geely, Proton S70 baharu, Proton-SMART (BEV), dan lima model facelift, semuanya dalam tahun ini,” katanya.

 

Selain itu, Kenanga berkata jualan kenderaan akan disokong oleh kenderaan elektrik bateri (BEV) baharu yang menikmati pengecualian SST dan insentif EV lain sehingga CY2025 untuk unit terbina lengkap dan CY2027 untuk unit terputus sepenuhnya.

 

“Pendaftaran baharu BEV melonjak dengan ketara sejak dua tahun lepas (daripada 274 unit dalam 2021 kepada lebih 3,400 unit dalam CY22 dan 9,000 unit menjelang November 2023) dan berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran nasional untuk EV dan kenderaan hibrid.

 

“Sementara itu, kerajaan komited untuk membolehkan operator titik caj (CPO) mendapatkan kelulusan lebih pantas untuk pemasangan memberi keselesaan kerana pada masa ini hanya 1,434 stesen pengecas EV telah dibina setakat ini,” katanya.- DagangNews.com