Jumlah TIV Januari 2024 diunjur lebih rendah berbanding 78,400 unit yang dicatat pada Disember 2023 - TA Research | DagangNews Skip to main content

Jumlah TIV Januari 2024 diunjur lebih rendah berbanding 78,400 unit yang dicatat pada Disember 2023 - TA Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Jan -  Jumlah jualan keseluruhan industri kenderaan (TIV) pada Januari 2024 diunjur lebih rendah daripada 78,400 unit yang dicatatkan pada Disember 2023.

 

TA Research berkata, berdasarkan maklumat Persatuan Automotif Malaysia (MAA), TIV bulan pada Disember lalu adalah yang kedua tertinggi pada 2023 dengan ia mencatatkan peningkatan sebanyak 9% dari bulan ke bulan.

 

Katanya, segmen kenderaan penumpang meningkat sebanyak 8.7% dari bulan ke bulan kepada 71,000 unit manakala segmen kereta komersial juga mencatatkan pertumbuhan 2.4% kepada 7,500 unit.

 

"Jualan yang lebih tinggi boleh dikaitkan dengan peningkatan dalam pengeluaran dan penghantaran, terutamanya syarikat yang menutup akaun mereka pada Disember dan ditambah dengan promosi akhir tahun yang agresif," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, TIV negara meningkat ke paras tertinggi sebanyak 799,731 unit pada 2023 berbanding 721,177 unit tahun sebelumnya dan kenaikan sebanyak 11% itu dipacu oleh subsegmen kereta penumpang berikutan ekonomi domestik yang berdaya tahan serta senario sosiopolitik yang stabil.

 

Pertumbuhan itu juga didorong insentif bebas cukai, pelancaran baharu seperti kenderaan elektrik (EV) pada harga kompetitif serta persekitaran rantaian bekalan industri yang semakin baik.

 

Tahun lalu merupakan tahun kedua berturut-turut menyaksikan angka TIV melepasi paras 700,000 unit.

 

Firma penyelidikan itu berkata, gabungan bahagian pasaran kereta nasional meningkat kepada 66.9% untuk 2023, berbanding 65.1% yang dicatatkan tahun sebelumnya manakala gabungan jualan kereta bukan nasional meningkat 6.1%. 

 

Katanya, MAA telah mengkategorikan kenderaan hibrid (HV) dan EV di bawah segmen yang dinamakan xEV dan jualannya pada tahun lalu melonjak 68.9% kepada 38,200 unit dengan HV membentuk 28,100 unit dan EV sebanyak 10,200 unit.

 

"Jumlah jualan EV itu tidak termasuk Tesla kerana jenama itu bukan ahli MAA.

 

"Berdasarkan laporan, MAA menjangkakan xEV menyumbang kepada 9% hingga 10% daripada TIV pada 2024, meningkat daripada kira-kira 5% pada 2023, dan EV dijangka meningkat 2%, daripada 1% yang direkodkan pada 2023," katanya.

 

TA Research mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor itu selain mengekalkan ramalan TIV tahun ini pada paras 650,000 unit.

 

Firma penyelidikan itu juga mengekalkan saranan 'jual' terhadap MBM Resources Berhad (TP: RM4.13), Bermas Auto Berhad (TP: 2.33), manakala Sime Darby Berhad (TP: RM2.50) kekal dengan saranan 'pegang'. - DagangNews.com