KUALA LUMPUR 24 Jan - Kenanga Research mengekalkan pandangan 'market perform' terhadap CTOS Digital Bhd. dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.85 sesaham selepas syarikat itu merekodkan prestasi kewangan yang memberangsangkan.
Dalam laporan kewangan yang diumumkan Jumaat lalu, untung bersihnya susut 8.62% kepada RM11.78 juta bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2021 berbanding RM12.89 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya berikutan perbelanjaan pentadbiran yang lebih tinggi.
Pendapatan bagi tempoh itu bagaimanapun meningkat 12.5% kepada RM38.79 juta daripada RM34.47 juta tahun lalu memandangkan Bank Negara Malaysia (BNM) membenarkan akses percuma ke pangkalan data Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS).
Bagi tahun kewangan penuh berakhir 31 Disember 2021, untung bersihnya meningkat hampir 10% kepada RM42.98 juta daripada RM39.19 juta manakala pendapatan meningkat 15% kepada RM153.17 juta berbanding RM133.23 juta.
"Keputusan kewangan ini adalah dalam jangkaan kami, membentuk 101% daripada anggaran tahun kewangan 2021 (FY21) kami, tetapi mengatasi jangkaan konsensus pada 110%," menurut penganalisis Kenanga Research, Lim Khai Xhiang dalam nota kajian hari ini.
Beliau juga mengekalkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (Patami) teras sebanyak RM79.2 juta bagi FY22 dan memperkenalkan Patami teras bagi FY23 sebanyak RM92.4 juta.
Di samping itu, dividen sesaham (DPS) bagi FY22 juga diturunkan kepada 1.9 sen daripada 2 sen sebelum ini kerana anggaran bayaran dikurangkan daripada 60% kepada 55% (FY21 : 54%). Ia juga mengunjurkan bayaran dividen 55% bagi FY23.
Mengenai prospek kumpulan, Khai Xhiang berkata, CTOS Digital akan terus memacu pertumbuhan dengan meningkatkan pegangan dalam RAM Holdings dan Business Online Public Company Limited (BOL) serta Juris Technologies Sdn Bhd (JurisTech).
"Kami percaya, tahun ini pengurusan akan memberi fokus untuk menyepadukan operasi JurisTech ke dalam CTOS dan menggabungkan keupayaan masing-masing untuk mewujudkan penyelesaian pinjaman digital hujung-ke-hujung.
"Kumpulan juga mendapat manfaat daripada trend jangka panjang pendigitalan perusahaan dalam proses penerimaan pelanggan," jelasnya.
Setakat 9.21 pagi ini, harga saham CTOS Digital susut 1 sen atau 0.57% kepada RM1.74 dengan 488,800 saham diniagakan. -DagangNews.com