Juwai IQI jangka pasaran hartanah kediaman bertambah baik pada 2023 | DagangNews Skip to main content

Juwai IQI jangka pasaran hartanah kediaman bertambah baik pada 2023

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Jun - Juwai IQI menjangkakan pasaran hartanah kediaman akan bertambah baik tahun ini disebabkan oleh pelbagai keadaan yang menyokong dan walaupun ekonomi berkembang pada kadar sederhana.

 

Pengasas Bersama Juwai IQI dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kashif Ansari berkata, pihaknya juga mengunjurkan harga rumah sebanyak 1.5% dan 4% pada separuh kedua tahun ini berbanding tahun sebelumnya.

 

Katanya, 2022 merupakan tahun terbaik perkembangan pasaran hartanah dan pihaknya percaya tahun ini juga adalah sama dengan jumlah urus niaga nasional meningkat sebanyak 30%, dan jumlah nilai urus niaga meningkat sebanyak 24% berbanding tahun lalu.

 

"Pasaran kediaman adalah sektor yang paling stabil dan prestasi baiknya membawa kepada penurunan dalam hartanah tidak terjual di negeri-negeri di mana ia berada pada tahap paling teruk.

 

"Kemerosotan hartanah tidak terjual adalah perkembangan yang baik untuk pasaran. Hartanah tidak terjual yang lebih kecil bermakna lebih ramai keluarga mencari rumah dan akan membantu menstabilkan harga dan bekalan.

 

juwai
Kashif Ansari

 

"Penurunan paling ketara adalah dalam kategori hartanah bernilai RM300,000 ke bawah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau berkata, jumlah aktiviti pasaran hartanah meningkat dengan ketara pada suku pertama dengan kedua-dua jumlah serta nilai urus niaga melonjak. 

 

Pada Mac, katanya, nilai agregat urus niaga hartanah melonjak 40% berbanding Februari, mencecah RM18.2 bilion, tertinggi dalam tempoh 12 bulan manakala jumlah urus niaga juga meningkat kepada 33,233 pada Mac, tertinggi sejak September dan paras keempat tertinggi dalam 12 bulan lepas.

 

Kashif berkata, Indeks Harga Rumah Malaysia meningkat sederhana 2% pada suku pertama degnan kadar pertumbuhan tidak jauh daripada pertumbuhan pra-pandemik.

 

"Kami belum mempunyai data harga suku pertama, tetapi pada suku ketiga 2022, rumah berasingan kekal sebagai jenis hartanah kediaman paling mahal, dengan harga purata RM617,432 manakala harga purata rumah berkembar ialah RM669,402. 

 

"Kategori paling mahal seterusnya ialah rumah teres, dengan harga purata RM418,592 manakala purata hartanah bertingkat ialah RM342,506," katanya. - DagangNews.com