KOTA KINABALU 21 Mei - Sejumlah 13 program menarik disediakan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) bagi menyemarakkan lagi Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) peringkat negeri yang berlangsung sehingga esok.
Ketua Setiausaha K-KOMM, Datuk Seri Mohammad Mentek berkata, antara program dan aktiviti yang dibawakan khas oleh kementerian itu ialah Uji Bakat Penyampai Radio RTM, Uji Bakat Bintang P.Ramlee dan Bintang Kecil RTM.
"Kita sedia maklum di Sabah ini memang ramai bakat terpendam, jadi kita adakan juga uji bakat untuk Pentarama bagi mereka yang berminat dalam program kebudayaan, selain beberapa perkongsian pengalaman usahawan digital.
"Jadi datang beramai-ramai ke booth (reruai) K-KOMM nombor 27 kerana kita turut menyediakan DJ Corner untuk mereka melihat sendiri aksi DJ di konti," katanya ketika temu bual di stesen radio Sabah FM, hari ini.
Terdahulu beliau melawat Kompleks Bersepadu K-KOMM Sabah yang turut dihadiri Pengarah Penyiaran, Datuk Che Roslan Che Daud; Ketua Pengarah Penerangan Datuk Mohd. Sukari Ab. Hamid dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Roslan Ariffin.
Mohammad berkata, turut ditawarkan Pakej Remaja Keluarga Malaysia yang menyediakan langganan internet prabayar dengan data 20GB berharga RM30 bagi tiga bulan, khusus untuk remaja dan pelajar terutama bagi kemudahan pembelajaran secara dalam talian.
Selain itu, katanya turut ditawarkan Pakej Peranti Keluarga Malaysia untuk warganegara Malaysia memiliki atau menaik taraf peranti mudah alih terpilih kepada peranti yang bertaraf 4G bergantung kepada pakej langganan dipilih.
Media sebelum ini melaporkan Pakej Remaja Keluarga Malaysia dan Pakej Peranti Keluarga Malaysia yang dilancarkan pada 14 Oktober 2021, ditawarkan sehingga 15 April 2022 sebelum disambung hingga 31 Oktober 2022. - DagangNews.com